Presiden Umno – PM bertembung rakyat Johor hadap PRN?
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak mempunyai asas yang kukuh untuk diadakan pada bulan hadapan kerana mandat mentadbir negeri itu berbaki setahun lagi dan boleh disekalikan dengan Pilihan Raya Umum (PRU)
Bagi Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, PRN itu dilihat lebih kepada pertembungan politik di antara Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Katanya, Zahid yang bakal menghadapi keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kes dakwaan penyelewengannya mungkin tidak mahu PRU dilewatkan dan merisikokan karier politik beliau, manakala Ismail pula perlukan masa yang lebih panjang bagi membuktikan beliau boleh diangkat sebagai pimpinan utama Umno dalam pemilihan nanti.
“PRN Johor ini menyaksikan rakyat jadi mangsa, akibat pertembungan kepentingan politik di antara Presiden Umno Datuk Seri Zahid yang pada hari ini diarahkan oleh mahkamah untuk memasuki pembelaan dan dalam masa sama, secara khususnya saya lihat Ismail Sabri pula sebagai PM sedang berusaha bersungguh sungguh memastikan beliau berpeluang menjadi Presiden Umno.
“Tentunya dengan PRN Johor ini, natijahnya yang boleh kita lihat akan menyebabkan PRU itu akan terus didesak untuk disegerakan. PM sahaja mempunyai kuasa untuk memanggil PRU.
“Jadi saya yakin ada dua mazhab sedang bertembung dalam kepimpinan Umno ketika ini. Satu segi saya lihat presiden Umno ingin segera buat PRU kerana kita tahu kesnya akan terus menyusul. Sekiranya beliau didapati bersalah maka beliau tidak lagi boleh bertanding dalam PRU, dan tentunya beliau sedang menjangkakan (lebih senang) Parlimen itu dibubarkan sebelum tarikh keputusan mahkamah,” katanya.
Manakala alasan bekas Menteri Besar (MB) Johor bahawa Kerajaan Negeri itu hidup di atas ehsan pembangkang sebagai dalih mengadakan PRN ditolak oleh Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu.
Menurut Shamsul, Pakatan Harapan (PH) telah memberikan kerjasama yang amat baik, termasuk menyokong Belanjawan 2022 negeri Johor, dan tidak timbul isu ADUN kerajaan yang akan melompat parti meruntuhkan kerajaan atau sebagainya.
“Jadi ini yang berlaku di Johor, malah bekas MB sendiri menyatakan kerajaan beliau hidup atas ehsan pembangkang.
“Pada saya itu perkataan cukup tidak menunjukkan kematangan kerana kita lihat dalam banyak hal, baru baru ini pun, ketika meluluskan belanjawan negeri Speaker yang juga merupakan pimpinan pembangkang terus memberikan sokongan dan pada saya itu tidak menjadi isu kepada rakyat Johor,” katanya
Shamsul juga menolak pilihan raya yang dipaksakan ketika wabak Covid 19 varian Omicron sedang melanda dan mungkin membahayakan nyawa rakyat
“Waktu sekarang bukan yang terbaik (untuk PRN) kerana negara masih lagi bergulat dengan masalah pandemik dan terbaharu varian virus Omicron dan kita tentunya juga sedang penyaksikan pemulihan ekonomi.
“Maka membuat PRN waktu ini pada saya akan menyukarkan keadaan,” katanya lagi.