MEMBESARKAN KHEMAH ATAU MAHU MENUKAR PENJAGA KHEMAH?


 Sekali lagi isu ‘khemah besar’ yang dikaitkan dengan kedudukan semasa PH ditimbulkan secara terbuka.

Kali ini, Presiden Amanah, Mohamad Sabu sendiri membangkitkannya dalam ucap tama Kongres Nasional 2021 parti itu hari ini.

Katanya, PH perlu kembali kepada gagasan ‘khemah besar’ yang digunakan sewaktu menghadapi PRU14 lalu sehingga membawa kepada kejayaan gabungan itu menumbangkan UMNO dan BN.

Menurut beliau lagi, kekalahan besar PH dalam PRN Melaka dan Sarawak baru-baru ini yang disebabkan hilangnya sifat keterbukaan oleh parti komponen tertentu dalam PH tidak seharusnya berulang dalam PRN Johor akan datang.

“Kegagalan kita dalam PRN Melaka dan Sarawak pastinya banyak mengajar kita.

“Amanah dan PH mesti berani membuat perubahan demi kesinambungan perjuangan dengan meletakkan gagasan ‘khemah besar’ atau ‘big tent’ bukan lagi hanya sekadar slogan.

“Idea dan pendekatan baik ini perlukan pengisian dan pelan tindakan yang berkesan.

“Hakikatnya, gagasan dan pendekatan itulah yang menjayakan usaha kita semasa PRU14 dahulu.

“Malangnya kita telah hilang sifat keterbukaan dan kesanggupan memperbanyakkan rakan dan itulah sebabnya prestasi yang buruk dalam PRN Melaka dan Sarawak,” tambah bekas Menteri Pertahanan itu lagi.

Ada beberapa persoalan terlintas di sebalik ucapan Mat Sabu berkenaan gagasan ‘khemah besar’ ini.

Apakah sebenarnya khemah besar yang dimahukan oleh Presiden Amanah itu?

Adakah ia benar-benar untuk memperbanyak rakan dan menambah kekuatan PH dengan kesediaan rakan baru yang dibawa masuk itu menerima kepimpinan sedia ada gabungan itu atau tujuan membawa masuk rakan-rakan daripada luar itu bagi memudahkan menukar ketua khemah, seterusnya meletakkan pemimpin lain sebagai calon Perdana Menteri?

Sebenarnya tidak salah membesarkan khemah sedia ada, tetapi orang luar yang hendak dibawa masuk itu mestilah boleh menerima ketua khemah sedia ada.

Apa guna membesarkan khemah jika yang ingin dibawa masuk itu bukan saja watak yang didapati sentiasa menolak ketua khemah sedia ada, malah mereka juga diketahui punya hasrat ingin mengambil alih dan diterima sebagai peneraju baru khemah yang baru mereka masuki itu.

Mereka yang berada di luar khemah dan ingin berada dalam ‘khemah besar’ semestinya harus bersedia menerima dengan seadanya susun atur kerusi dan hiasan yang ada dalam khemah PH.

Kalau mereka ingin mengubah itu dan ini, lebih baik mereka membina khemah sendiri yang berasingan sebagai memenuhi kehendak peribadi mereka.

Dalam hal ini, Mat Sabu tidak perlu terlalu ghairah dengan idea ‘khemah besar’ tanpa beliau sendiri lebih dulu melakukan sesuatu untuk memperbaiki dan mengukuhkan khemah tidak berapa besar yang sedia ada didudukinya sekarang ini.

Khemah besar – benar-benar mahu membesarkan khemah atau untuk menukar ketua penjaga khemah?

Ketua penjaga khemah sajakah yang difikirkan mahu ditukar, diletakkan beban punca masalah dan dianggap tidak terbuka, yang lain-lain, termasuk Mat Sabu sendiri, tidak berhajatkah menukar diri mereka sendiri terlebih dahulu? ShahbudinHusin 23/01/2022.

No comments: