Yang bantah PRU awal cuma mahu kekal berkuasa, kata Zaid

 

Bekas Menteri Undang-undang Zaid Ibrahim berkata pilihan raya umum yang baharu ‘sudah lama tertangguh’ dan sepatutnya diadakan pada awal 2020.

PETALING JAYA: Mereka yang cuba menangguhkan pilihan raya umum (PRU) yang baharu adalah orang yang takut dengan kehendak rakyat dan cuma mahu kekal berkuasa, menurut Zaid Ibrahim.

Bekas Menteri Undang-undang itu berkata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri Najib Razak secara terbuka menyokong untuk PRU awal diadakan tetapi mendapat tentangan daripada pengkritik yang menuduh mereka memperoleh kuasa untuk membersihkan diri daripada dakwaan mahkamah.

Bagaimanapun, Zaid berkata PRU itu sepatutnya diadakan sejurus kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada awal 2020, untuk digantikan dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin.

“Negara terdesak untuk mencari kepimpinan. Jika anda tidak mahu mengadakan PRU, anda menggunakan pelbagai alasan, seperti anda mengisytiharkan darurat, anda mengatakan masih belum cukup vaksin, anda menyalahkan banjir, Omicron,” katanya kepada FMT.

“Dengan keadaan negara yang dilanda kesusahan, kita perlu mengharunginya dan mengundi pemimpin dengan sokongan majoriti.

“Ia bukan untuk orang memikirkan bahawa pemimpin Umno yang berdepan dengan hakim mahkamah sedang mencari jalan untuk menyelamatkan diri – malah mereka mungkin ditolak. Kenapa tidak adakan PRU dan tunjukkan kepada rakyat yang benar-benar memikirkan mengenai negara?”.

Zaid berkata terdapat “terlalu banyak politiking yang berlaku”, dan pemulihan ekonomi hanya boleh dicapai apabila kerajaan stabil wujud.

“Sampai bila kita ingin terus seperti ini? Mari teruskan, mari pergi mengundi. Tiada cara lain lagi tetapi memilih kerajaan dengan mandat yang kuat.”

Ahli Parlimen sekarang telah dipilih pada Mei 2018. Penggalnya berakhir tahun depan. Bagaimanapun, terdapat spekulasi mengenai PRU awal akan diadakan kerana terdapat dua perubahan kerajaan sejak 2020.