WakZahid diperintah bela diri atas semua 47 pertuduhan

 

Ahmad Zahid Hamidi dibicarakan atas 47 tuduhan pengubahan wang haram dan CBT membabitkan wang bernilai jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah untuk pelbagai projek sepanjang menjadi Menteri Dalam Negeri.

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi atas 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah jenayah (CBT) dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Collin Lawrence Sequerah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Zahid.

Zahid dibicarakan atas 47 pertuduhan pengubahan wang haram dan CBT membabitkan puluhan juta ringgit milik yayasan itu dan menerima rasuah untuk pelbagai projek sepanjang menjadi Menteri Dalam Negeri.

Sebanyak 12 dakwaan membabitkan CBT, lapan rasuah dan selebihnya adalah pengubahan wang haram.

Sequerah berkata, Zahid mempunyai tiga pilihan dalam melakukan pembelaan – beliau boleh memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi, memberi keterangan dari kandang tertuduh atau berdiam diri.

Peguam Zahid, Hamidi Mohd Nor, memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi.

Pendengaran bagi peringkat pembelaan dijadual bersambung pada 28 Mac.

Zahid tidak layak diberi ‘kekebalan’ daripada pendakwaan, kata hakim

Sequerah berkata Zahid tidak layak diberi “kekebalan” daripada pendakwaan dengan alasan beliau secara jujur telah mendedahkan semua transaksi berhubung Yayasan Akalbudi.

“Selepas mempertimbangkan hujah, saya dapati tiada merit dan tertuduh tidak layak mendapat kekebalan,” katanya.

Terdahulu, peguam Zahid berhujah bahawa anak guamnya harus diberi kekebalan di bawah Seksyen 30 (7) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Peruntukan yang telah dimansuhkan pada 1 Okt 2018 telah menyatakan bahawa sesiapa yang mendedahkan maklumat atau mengemukakan sebarang dokumen kepada pihak berkuasa tidak akan didakwa.

Pihak pembelaan berhujah bahawa pegawai SPRM merekodkan kenyataan Zahid antara 2 dan 3 Julai 2018, di mana beliau memberikan butiran mengenai penubuhan yayasan itu, sumber dananya, dan butiran peribadi dirinya dan ahli keluarga.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan berhujah bahawa “kekebalan” yang dibangkitkan oleh Zahid adalah cubaan untuk membatalkan semua pertuduhan.

Katanya, Zahid sepatutnya memfailkan semakan kehakiman di mahkamah sivil untuk menentukan sama ada beliau berhak mendapat kekebalan daripada pihak pendakwaan.

No comments: