Gadek dan Bemban kerusi kritikal, pengundi diseru pilih calon PH


Oleh B. Suffian

Sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek dan Bemban dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, gabungan itu sekali lagi dilihat berpeluang untuk menubuhkan kerajaan negeri.

Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong berkata, kedua-dua kerusi tersebut merupakan antara kerusi paling kritikal bagi PH.

“Kedua-dua kerusi ini adalah kerusi luar bandar dan sebelum ini kubu kuat Barisan Nasional (BN).

“PH lazimnya mendapat sokongan pengundi bandar. PH berjaya menawan Gadek dan Bemban dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 atas ‘gelombang perubahan’ yang turut memenangi 15 daripada 28 kerusi DUN Melaka bagi menubuhkan kerajaan negeri.

“Sekiranya PH menang di Gadek dan Bemban dalam PRN ini, PH sekali lagi berpeluang untuk menubuhkan kerajaan negeri,” katanya semalam.

Menurut Chin Tong, pertembungan lima penjuru menyukarkan situasi di Bemban justeru, beliau merayu pengundi di kawasan tersebut untuk memilih calon PH, Tey Kok Kiew.

Jelasnya, perkara itu bukan sahaja kerana rekod Kok Kiew yang baik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebelum ini.

Namun juga tambahnya, kemenangan Pengerusi DAP Melaka itu bakal mengembalikan PH sebagai kerajaan negeri dan Adly Zahari sebagai Ketua Menteri.

“Pengundi perlu memenangkan sebanyak kerusi yang boleh untuk PH, dan bukan setakat 50 peratus campur satu untuk memastikan kerajaan negeri PH yang kukuh.

“Ini supaya tiada lagi katak atau rampasan kuasa oleh UMNO-BN, Bersatu-Perikatan Nasional (PN) dan PAS,” katanya.

No comments: