LEBAI PEMBOHONG DENGAN DALIL- KINI MURSYIDUL AM KELUAR DALIL

 Terkini! Mursyidul Am Pas keluar dalil kenapa dulu tolak Wan Azizah, kini sokong Mas Ermieyati

PAS memberikan sokongan penuh kepada Mas Ermieyati Samsudin untuk dilantik menjadi ketua menteri jika Perikatan Nasional membentuk kerajaan negeri, kata pemimpin tertinggi parti itu hari ini.

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, berkata ada sebab mengapa partinya memberikan dukungan kepada timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu walaupun mereka pernah menunjukkan sikap berbeza di Selangor pada 2014.

Bercakap kepada Malaysiakini, Hashim berkata, ada sebab mengapa PAS berpendirian begitu.

Katanya daripada semua calon yang diketengahkan oleh mana-mana parti untuk menjadi ketua menteri PAS mendapati poplariti mereka terlampau rendah.

“Maka kita lihat dalam kalangan calon-calon PN, Mas Ermieyati inilah yang ke hadapan berbanding calon lain.

“Disebabkan itu kita sokong cadangan untuk menjadikan Mas Ermieyati sebagai ketua menteri Melaka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mas Ermieyati merupakan ahli parlimen Masjid Tanah yang dipertaruhkan PN untuk memenangi kerusi Tanjung Bidara. Bagaimanapun dia dijangka berdepan cabaran besar kerana berdepan dengan salah seorang pemimpin kanan Umno, Ab Rauf Yusoh.

Ab Rauf merupakan pengerusi Umno Melaka dan pernah berkhidmat sebagai setiausaha kerja Umno Malaysia. Mas Ermieyati pula asalnya merupakan ahli parlimen Umno yang memenangi kerusi Masjid Tanah pada 2018 namun menyertai Bersatu kira-kira tujuh bulan selepas Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan pusat.

Pencalonan Mas Ermieyati itu diumumkan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin semalam dalam majlis yang dihadiri Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Presiden Gerakan Dominic Lau.

Untuk rekod, pada 2014, PAS berkeras menolak menyokong Presiden PKR ketika itu, Dr Wan Azizah Wan Ismail, menjadi menteri besar Selangor bagi menggantikan Khalid Ibrahim.

Cubaan PKR itu – yang dikenali sebagai Langkah Kajang – gagal selepas PAS tidak memberikan dukungan di sebalik posisi parti berkenaan menjadi sebahagian daripada Pakatan Rakyat yang mentadbir Selangor.

Lawan rasa tertekan

Mengulas lanjut, Hashim berkata situasi yang melibatkan Wan Azizah dengan Masa Ermieyati ini adalah berbeza sama sekali.

“Yang pertama, kita semua tahu Langkah Kajang dibuat untuk menjatuhkan Tan Sri Khalid yang sudah memerintah (Selangor), sedangkan di Melaka ini kita tak ada ketua menteri yang rasmi,” katanya.

Disoal berhubung keutamaan kepimpinan PAS dalam soal integriti ekoran status Mas Ermieyati yang melompat parti sebelum ini, Hashim berkata suasana dalam PRN Melaka hari ini memerlukan parti itu menyokongnya.

“Kita cakap tentang integriti tetapi suasana yang wujud di Melaka pada hari ini memerlukan kita menyokong, itu bukan biasa tetapi suasana, teknik berpolitik dalam suasana yang ada di Melaka itu memerlukan kita menyokong Mas Ermieyati sebagai calon ketua menteri.

“Dan daripada pemerhatian kita apabila calon ini (Mas Ermieyati) diumumkan, keadaannya heboh. Pihak lawan pun rasa tertekan dengan pencalonnan Mas Ermieyati itu,” dakwanya.

Sementara itu, penganalisis politik, Dr Muhammad Tawfik Yaakub, menyifatkan tindakan PAS menyokong pencalonan Mas Ermieyati itu sebagai tidak elok untuk imej parti berkenaan.

“PAS tidak boleh mengubah atau mengalih isu itu semata-mata untuk mengabsahkan tindakannya.

“PAS kena realistik. Kalau PAS nak bercakap tentang calon wanita, kena dari awal kena konsisten tidak boleh berubah-ubah mengikut kesesuaian parti atau hanya apabila ia memberi kelebihan kepada mereka.

“Bagi saya PAS tidak boleh begini, mereka kena konsisten dari awal. Kalau menolak, menolak daripada awal,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Muhammad Tawfik lagi dalam keadaan genting dan sukar di Melaka, PAS dilihat membuat perhitungan yang hanya merosakkan imej mereka, bahkan menyukarkan parti itu pada masa depan.

Dia bagaimanapun mengakui langkah PN mencalonkan Mas Ermieyati itu adalah sebagai salah satu strategi politik gabungan terbabit khususnya untuk mendapatkan sokongan daripada pengundi wanita.

Muhammad Tawfik juga berpendapat calon berkenaan masih berdepan dengan isu tertentu seperti tindakannya meninggalkan Umno untuk menyertai Bersatu pada 2018.

“Saya rasa kalau Mas Ermieyati tak ada masalah itu, dia memang calon yang sesuai tetapi dia penuh dengan kontroversi dan saya lihat sokongan PAS itu sebenarnya merupakan usaha pada saat-saat akhir bagi menarik sokongan bukan sahaja penyokong parti tapi pengundi wanita,” tambah pensyarah kanan Jabatan Pengajian Politik Universiti Malaya itu lagi.

Jika PN berjaya menguasai majoriti kerusi dalam DUN Melaka dan Mas Ermieyati memenangi kerusi yang ditandinginya, dia akan menjadi wanita pertama dilantik sebagai ketua menteri.

Sebelum ini Umno-BN terlebih dahulu mengumumkan calon ketua menteri mereka iaitu Sulaiman Md Ali pada 8 Nov, diikuti Pakatan Harapan (PH) yang menamakan Adly Zahari dua hari kemudian.

Kedua-dua mereka pernah berkhidmat sebagai ketua menteri sebelum ini

Secara keseluruhan ada lima DUN di bawah kawasan parlimen Masjid Tanah, iaitu Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu dan Taboh Naning.

Hari ini juga Malaysiakini mendapati ada pemidang yang dinaikkan bagi membantah pencalonan Mas Ermieyati sebagai ketua menteri. Pemidang itu – yang dinaikkan di kawasan Tangga Batu – didakwa menzahirkan pandangan PAS di kawasan tersebut.

No comments: