Panas! Wan Besi nafi jadi dalang seludup Sajat ke Thailand

 Panas! Wan Besi nafi jadi dalang seludup Sajat ke Thailand


 

Didakwa menjadi dalang disebalik kejayaan usahawan kosmetik Nur Sajat meloloskan diri ke Thailand, seorang penternak lembu bergelar Wan Besi tampil menafikan penglibatannya.

Lelaki berusia 51 tahun bernama Wan Azhar Harun itu dilaporkan hadir membuat penafian di Ibu pejabat Polis Dearah (IPD) Kangar, hari ini, diteman peguamnya Zuhair Ahmad Zakuan, selepas namanya dikaitkan oleh laporan akhbar tempatan.

Zuhair berkata, anak guamnya mengetahui mengenai dakwaan itu melalui panggilan telefon seorang rakanyang menyatakan dia adalah pengkhianat negara kerana terlibat dalam kes Nur Sajat.

Tegasnya, laporan berita berkenaan adalah tidak wajar dan amat dikesali kerana anak guamnya tinggal di Padang Besar dan bekerja sebagai pengusaha ternakan lembu sejak 10 tahun lalu.

“Dia juga ada terlibat dengan pembedahan jantung. Jadi dia agak uzur untuk melakukan perkara-perkara sedemikian. Oleh itu, kami datang pada hari ini untuk memaklumkan kepada polis bahawa dia tidak terlibat seperti yang dilaporkan oleh akhbar tersebut.

“Polis juga mengatakan tidak ada arahan untuk menangkapnya. Maksudnya tidak ada kes,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia, hari ini.

Terdahulu Harian Metro yang memetik sumber melaporkan individu dikenali sebagai Wan Besi merupakan pengkhianat negara dan bertanggungjawab menyusun penyeludupan keluar Nur Sajat dari Padang Besar, Perlis hingga ke Bangkok, Thailand.

Susulan itu Zuhair tuduhan pengkhianat negara adalah satu tuduhan besar serta amat serius dan tindakan selanjutnya sama ada dalam bentuk sivil akan dibincangkan bersama anak guamnya kemudian.

Sementara itu Wan Azhar dilaporkan berkata, dia mengetahui mengenai laporan akhbar tersebut daripada kawannya selepas pulang dari solat subuh pagi tadi.

“Nama penuh saya memang lain tetapi orang memang mengenali saya sebagai Wan Besi,” katanya dipetik sebagai berkata.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Deputi Superintenden, Mohd Anuar Jusoh ketika dihubungi mengesahkan kehadiran individu tersebut ke IPD Kangar untuk membuat penafian, namun tiada arahan atau waran tangkap terhadapnya.

Jabatan agama nak selamatkan Sajat, kata mutfi

Dalam perkembangan kes itu, Mufti Pahang Dr Abdul Rahman Osman menyifatkan jika tindakan Nur Sajat melarikan diri ke luar negara kerana takut kepada pihak berkuasa agama, tanggapan itu adalah salah.

Jelasnya, matlamat majlis atau jabatan agama Islam adalah untuk menyelamatkan, sebaliknya bukannya untuk menyusahkan.

“Bukan bermaksud apabila didenda semata-mata itu tujuan utama. Sebab konsep Islam, menghukum bukan untuk membinasakan, sebaliknya tujuan sebenar adalah memberikan keinsafan.

“Tak perlu bimbang (untuk Nur Sajat pulang). Tujuan kita dengan orang Islam bukannya kita hendak menyeksa dia atau menyusahkannya,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

‘Pulanglah Sajat’

Dalam perkembangan sama Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Mohd Shahzihan Ahmad dilaporkan berkata pertuduhan yang dihadapi usahawan itu hanyalah melibatkan hal berkaitan undang-undang negara.

Justeru katanya, Nur Sajat tidak perlu melarikan diri atau mendapatkan suaka di negara lain sehingga menjadi isu antarabangsa.

“Pulanglah saja ke Malaysia dan hadapi kes di mahkamah. Tiada siapa yang mengugutnya terutama kakitangan Jais. Kita mempunyai ramai peguam yang baik di negara ini boleh mewakilinya di mahkamah.

“Kes belum dibicarakan, belum tentu dia bersalah atau tidak di mahkamah. Jangan jadikan kes tersebut sebagai propaganda. Hadapi perbicaraan bagi menentukan sama ada dia bersalah atau tidak itu sahaja,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia.


No comments: