Tiada bukti suplemen cegah, rawat Covid-19, kata pakar

 


Menurut pakar nutrisi bagi kebanyakan orang yang mengamalkan diet seimbang dan sihat, suplemen adalah tidak diperlukan walaupun semasa pandemik Covid-19.

KOTA KINABALU: Tiada bukti klinikal yang menunjukkan keberkesanan suplemen atau makanan tambahan untuk mencegah dan merawat virus Covid-19, kata pakar nutrisi.

Khor Ban Hock dari Universiti Malaysia Sabah berkata, ramai orang pada masa kini mula mengambil suplemen kerana percaya ia boleh meningkatkan sistem imunisasi badan, sekaligus mencegah dan merawat Covid-19.

“Sebenarnya bagi kebanyakan orang yang mengamalkan diet seimbang dan sihat, suplemen adalah tidak diperlukan walaupun semasa pandemik Covid-19,” katanya kepada FMT.

Khor berkata, beberapa makanan tambahan seperti vitamin D, zinc, dan vitamin C yang dilaporkan dapat mengurangkan gejala selesema biasa, boleh juga memudaratkan jika diambil berlebihan.

Khor Ban Hock.

Mengulas lanjut, Khor berkata individu yang mengambil vitamin A berlebihan boleh menjejaskan kesihatan tulang, meningkatkan risiko kanser paru-paru, dan mempengaruhi perkembangan fetus dalam kalangan wanita hamil manakala pengambilan vitamin D berlebihan boleh mengurangkan ketumpatan mineral tulang.

“Sementara itu, bagi individu yang mengambil vitamin C berlebihan, ia boleh menyebabkan cirit-birit, perut kembung, meningkatkan risiko batu karang dalam kalangan lelaki manakala jika mengambil Zinc berlebihan boleh menyebabkan sakit perut, cirit-birit, muntah, loya dan menggangu penyerapan ‘copper’.

“Walaupun secara amnya tidak berbahaya, namun pengambilan makanan tambahan itu secara berlebihan boleh menyebabkan kesan buruk,” katanya.

Sehubungan itu, Khor menasihatkan pengguna yang mahu mengamalkan pengambilannya supaya membeli makanan tambahan berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan keselamatan dan kualiti produk berkenaan.

No comments: