Anwar tokoh pemersatu, layak calon PM ke 10
Peranan Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sering kali dirujuk sebagai tokoh pemersatu aliran politik dan pemikiran Malaysia melayakkan beliau untuk disangkat sebagai Perdana Menteri ke 10 dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.
Menurut Penyelaras Gabungan Reformis Malaysia, Mustaffa Kamil Ayub, anak muda Malaysia seharusnya berbangga dan berjuang agar tokoh seperti Anwar direalisasikan sebagai PM kerana beliau bukan sahaja diiktiraf di negara ini malah juga dihormati oleh gerakan sosial dan Islam di Indonesia sebagai sosok pemersatu.
“Harapan kita selaku yang terawal menggerakkan Reformasi amat tinggi terhadap anak muda. Saya yakin pada hari ini di bawah pimpinan semasa, anak muda mampu sebagai penyambung lidah perjuangan Datuk Seri Anwar.
“Datuk Seri Anwar juga mempunyai kemampuan menjadi tokoh pemersatu. Itulah karektor utama beliau yang telah terbina sewaktu memimpin PKPIM, ABIM dan Majlis Belia Malaysia yang kalau kita lihat, semua itu bersifat penyatu segala aliran fikiran dalam satu wadah perjuangan.
“InsyaAllah kita berkerja bersama-sama untuk membina kekuatan dan sama-sama dapatkan kejayaan besar membuat perobahan pada PRU ke 15 dengan mengangkat Datuk Seri Anwar sebagai PM ke 10,” katanya sebagai ahli paenl forum maya bertajuk “Dua Dekad Bersama, Obor Reformasi Terus Menyala”, anjuran Studio Dahsyat, malam tadi.
Sebelum itu, Mustaffa yang pernah menjadi Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN generasi Reformasi menjelaskan mengenai rahsia kekuatan gerakan tersebut yang bertahan sejak dua dekad kerana didasarkan kepada Deklarasi Permatang Pauh yang menekankan ketuanan rakyat berbanding agenda jangka pendek gerakan-gerakan politik lain.
“Saya di tahun 1998 ada dilema selaku Setiausaha Politik Menteri Belia dan Sukan, MahiaddinYassin atau mengikut dhomir memperjuangkan kebenaran dan keadilan.
“Akhirnya dalam persimpangan itu saya memilih bersama perjuangan rakyat yang kemudiannya tertuang dalam Deklarasi Permatang Pauh pada 12 September 1998
“Ini yang saya fikir kunci utama bertahannya Reformasi sekian lama. Malah kalau kita banding dengan Indonesia dan negara lain Reformasi ini dari awal dilaungkan sampai sekarang, ia antara bertahan paling lama.
“Sebabnya kita memperjuangkan keadilan untuk semua, untuk Melayu, Cina, India, Iban, kadazan, mendaulatkan kuasa melalui demokrasi, juga keadilan ekonomi yang termasuk ekonomi manusiawi seperti selalu diungkapkan Datuk Seri Anwar. Juga komiten membanteras rasuah serta penyalah guna kuasa.
“Ini merupakan sendi kekuatan agenda Reformasi yang terangkum dalam Deklamasi Permatang Pauh.” katanya lagi.
Untuk rekod, semalam merupakan ulang tahun ke 23 Datuk Seri Anwar ditangkap di rumahnya di Bukit Damansara dan disumbat ke penjara Sungai Buloh selepas 18 hari jelajah Reformasi ke seluruh negara setelah beliau dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 2 September 1998 oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.