PAS dengan isu judi

 

Ada isu besar dibangkitkan di Parlimen beberapa hari lalu yang menyulitkan PAS.

Ia timbul apabila Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengesahkan di Parlimen kerajaan memberi izin kepada semua syarikat nombor ramalan untuk melaksanakan 22 cabutan khas sepanjang 2021.

(Dalam kalangan penggemar judi, cabutan khas lebih dikenali sebagai “special draw”. Ia tidak termasuk cabutan biasa yang diadakan beberapa kali setiap minggu).

Zafrul memberi pengesahan itu ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar, dari Amanah.

Untuk rekod, kadar kekerapan cabutan khas 22 kali setahun diberi oleh kerajaan BN sehingga ia jatuh pada PRU14. Apabila Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan, kekerapan cabutan khas dikurangkan kepada hanya lapan kali setahun.

Bermaksud apabila kerajaan pimpinan Perikatan Nasional, yang turut merangkumi PAS, mengambil alih Putrajaya, jumlah cabutan khas syarikat perjudian dibenarkan mencanak semula kepada 22, daripada lapan (zaman PH).

Respon Mahruz terhadap pengesahan Zafrul amat sinis. Beliau mengucapkan “tahniah” kepada kerajaan “yang didakwa sebuah kerajaan Melayu-Islam dan dianggotai ulama PAS”.

Mahfuz mengingatkan semua bahawa keputusan meluluskan kekerapan cabutan khas kepada 22 kali setahun dibuat pada waktu Menteri Kewangan sekarang, “bukannya masa Ahli Parlimen Bagan dari DAP, Lim Guan Eng, memegang jawatan tersebut”.

PAS, kita tahu, cukup lantang mengkritik kerajaan masa lalu dan operasi syarikat judi menjadi antara peluru utama digunakan parti itu. Lantas perkembangan terbaharu ni mempunyai kesan ke atas parti yang mengaku Islamik ini, termasuk menimbulkan kegusaran ahli biasa PAS.

Jika tidak, masakan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, pantas tampil menggesa ahli parti jangan “melatah” dan kekal “tenang” di sebalik kecaman ke atas parti berhubung isu cabutan khas.

Kata Razman, kegiatan judi bukan untuk orang Islam. “Sekarang ini kita ahli ahli PAS dan dan orang Islam perlu menjaga diri kita serta masyarakat Islam khususnya supaya tidak melanggar larangan Allah.

“Nombor ramalan ini hanya untuk orang bukan Islam, maka kita orang Islam ada halal dan haram…jadi kita orang Islam jaga orang Islam,” kata beliau dipetik laman Malaysiapost.

Benar. Namun ketika PAS mengkritik keras kegiatan judi terutama pada zaman Pakatan Harapan memerintah, kritikan mereka menyeluruh. Maksudnya terhadap semua kegiatan judi secara total. “Hak” berjudi untuk orang bukan Islam langsung tidak ditimbulkan. Malah kita pernah dengar desakan supaya kasino di Genting Highlands ditutup dan loteri serta ramalan nombor diharamkan.

Apa pun, ada lagi kenyataan Razman yang saya kira cukup “menarik”. Menurut beliau, keputusan membenarkan pertambahan cabutan khas bukan dibuat PAS – “Saya percaya kelulusan ini bukan dibuat pihak PAS kerana PAS tidak berkuasa penuh dalam kerajaan.”

Benar. PAS tidak berkuasa penuh dalam kerajaan. Dalam kerajaan gabungan seperti yang ada sekarang, tidak ada parti yang berkuasa mutlak dan keputusan dibuat secara konsensus. Itu lazimnya .

Isu tambahan cabutan khas tidak ada siapa yang tuduh keputusan itu dibuat rata-rata oleh PAS.

Cuma persoalan yang timbul – apa peranan PAS dalam kerajaan? Adakah sekadar penghias untuk “mencantikkan” kerajaan dengan imej “Islamik”? Atau menjadi, maaf cakap, “pak turut”?

PAS parti besar. Dalam Perikatan Nasional, PAS lebih besar daripada Bersatu, peneraju gabungan itu. Dalam kerajaan Ismail Sabri Yaakob, PAS tetap besar setanding dengan parti Perdana Menteri sendiri iaitu Umno .

Menteri hal ehwal agama Islam orang PAS. Timbalan menteri hal ehwal agama Islam juga orang PAS .

Adakah PAS tidak diajak berunding semasa keputusan cabutan khas dibuat? Atau jika diajak berunding, adakah suara PAS diabaikan? Mungkinkah PAS protes secara senyap? Tunggu masa sesuai untuk bertindak?

Namun, bantah dalam hati tidak mengubah keadaan. Realitinya cabutan khas sudah diizin tambah jumlahnya. Lebih menyukarkan PAS ialah jika senyap dituduh setuju.

Jelas, PAS akan sukar mempertahankan kerajaan apabila berkempen untuk PRU15 kelak. Apa tah lagi mempertahankan dirinya sendiri sekarang mahupun ketika kempen PRU. Sehingga artikel ini ditulis pimpinan tertinggi PAS belum mengulas isu ini. Baik Presiden Abdul Hadi Awang, Menteri Idris Ahmad, dan timbalannya Ahmad Marzuk Shaary.

Hakikatnya akar umbi PAS tidak akan senang dengan isu ini. Isu ini akan menghantui PAS.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

No comments: