Sumber Umno dedah nama Ahmad Maslan digugurkan dari Timbalan Speaker
Selepas gagal mendapat sokongan untuk melantik Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat, UMNO kini sedang mencari calon pengganti lain kepada Ahli Parlimen (MP) Pontian tersebut.
Sumber parti memberitahu nama Setiausaha Agung UMNO itu kini sudah digugurkan daripada pencalonan Timbalan Speaker selepas menyedari tindakan tersebut mengundang rasa tidak puas hati daripada parti komponen lain khususnya Perikatan Nasional (PN).
Keputusan tersebut terpaksa dibuat bagi mengelakkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dimalukan sekiranya kalah dalam pengundian di dewan nanti.
“UMNO kini terpaksa mencari calon lain untuk menggantikan Ahmad Maslan… Rakan-rakan parti dalam kerajaan tidak menyokong pencalonan tersebut dan sekiranya diteruskan juga ia akan mengundang kemaluan kepada Perdana Menteri.
“Ahmad Maslan ditolak bukan sahaja dikalangan MP pembangkang tetapi juga disebelah blok kerajaan,” kata sumber itu kepada Agenda Daily.
Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan yang berdepan dua pertuduhan di Mahkamah Tinggi disebut-sebut akan dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, pemilihan calon baharu sedikit mencabar apabila hampir majoriti MP UMNO tidak mahu mengambil jawatan tersebut malah beberapa calon yang ditawarkan sudah menolak sebelum ini.
Dalam pada itu, Ahmad sebelum ini mendakwa pencalonannya ditolak oleh MP Bersatu memandangkan beliau adalah salah seorang daripada 15 MP yang bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.
Selain itu, Ahmad juga merupakan salah seorang daripada kumpulan yang dikatakan kluster mahkamah.
Sebelum ini, UMNO mengesahkan Ahmad merupakan satu-satunya calon daripada blok kerajaan untuk dilantik sebagai Timbalan Speaker yang baharu.
Blok pembangkang pula mencalonkan MP Teluk Intan yang juga bekas Timbalan Speaker, Nga Kor Ming sebagai wakil Pakatan Harapan (PH).
Dewan Rakyat menangguh pemilihan jawatan Timbalan Speaker Parlimen yang dijadualkan berlangsung pada sidang kali ini ke Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-14 yang dijadual pada bulan hadapan.
Jawatan itu kosong setelah MP Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said meletak jawatan pada 23 Ogos lalu.
Mengikut ketetapan awal, usul mengenai perkara itu pada asalnya disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat kali ini iaitu pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14.