Tak perlu bimbang suntikan vaksin Covid-19 kepada pelajar, kata timbalan menteri


Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali berkata 26.9% pelajar sudah menerima suntikan sejak dilancarkan sehingga semalam dan 4.3% telah lengkap divaksin. (Gambar Bernama)

BAGAN SERAI: Ibu bapa tidak perlu bimbang kesan sampingan vaksin yang diberikan kepada remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun di negara ini melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali berkata setakat ini vaksin jenis Pfizer-BioNTech yang diberikan kepada remaja tidak mempunyai kesan sampingan yang besar.

“Jangan bimbang, risiko kerana suntikan vaksin amat rendah kebarangkaliannya dan kebaikan vaksin adalah jauh lebih baik daripada terkena Covid-19 malah kes itu tidak dilaporkan di negara ini.

Kajian di luar negara ke atas golongan muda yang terkena radang otot jantung dan radang selaput luar jantung mendapati peratusnya adalah sangat rendah,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke pusat pemberian vaksin (PPV) di Sekolah Menengah Kebangsaan Abu Bakar Al-Baqir (Sabar), semalam.

Dalam pada itu beliau berkata pihaknya menyasarkan 60% pelajar menerima suntikan sehingga November ini dan 80% sebelum akhir Disember tahun ini.

Mengikut statistik, beliau berkata jumlah pelajar di negara ini adalah seramai 2.5 juta orang dan 681,853 daripadanya telah menerima suntikan dos pertama manakala 108,935 telah melengkapkan vaksinasi mereka sejak 20 Sept hingga semalam.

“Ini bermakna 26.9% sudah menerima suntikan sejak dilancarkan sehingga semalam dan 4.3% telah lengkap divaksin,” katanya.

Beliau berkata peratusan pelajar yang mendapat suntikan mengikut negeri tertinggi ialah Wilayah Persekutuan Labuan iaitu 76.7% dos pertama dan 6.4% dos kedua, Sabah dos pertama 65.3% dan 7.2% dos kedua manakala Sarawak 37.7% dos pertama dan 6.9% dos kedua.

Katanya, Perlis telah mencapai 33.3% dos pertama dan 4.6% dos kedua, Pahang dengan 30.7% untuk dos pertama dan 3.4% telah menerima dos kedua manakala Perak dengan jumlah pelajar seramai 53,770 atau 26.5% telah menerima suntikan dos pertama dan 7,633 orang atau 3.8% dos kedua.

Sementara itu, Noor Azmi berkata Kementerian Kesihatan (KKM) menyambut baik cadangan untuk meminta pihak MySejahtera mengaktifkan bunyi penggera secara berulang-ulang selepas lebih 30 minit mendaftar masuk bagi memberi peringatan kepada pengguna aplikasi itu untuk mendaftar keluar.

Beliau berkata cadangan itu merupakan satu pandangan yang baik kerana ramai pengguna yang terlupa berbuat demikian selepas mendaftar masuk.

No comments: