Bekas CEO Tabung Haji dedah kenaikan kos haji dan bayaran yang dibuat oleh jemaah

 

Bekas CEO Tabung Haji dedah kenaikan kos haji dan bayaran yang dibuat oleh jemaah


Di dalam tahun 1962, Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji (PWSBBH) ditubuhkan dari idea Ungku Aziz. Perbadanan ini tidak terlibat dengan kerja-kerja haji yang diuruskan oleh sheikh-sheikh haji dari Pulau Pinang dan Singapura di ketika itu. Ini bermakna bakal-bakal haji kena menyimpan wang yang sekukupnya untuk membayar kos haji mereka.

Di dalam tahun 1969 barulah urusan simpanan dan urusan haji digabungkan apabila Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) ditubuhkan dengan menyerap peranan PWSBBH. Mulai dari peringkat ini bakal-bakal haji membayar kepada LUTH bagi mengerjakan haji. Di dalam tahun 1995 LUTH dinamakan semula sebagai Lembaga Tabung Haji (TH).

Laporan tahunan TH tahun 2019 menunjukkan bayaran haji yang dibayar oleh jemaah berbanding dengan kos sebenar untuk mengerjakan haji. Tidak seperti ketika peringkat PWSBBH dan LUTH, mulai tahun 2000 TH mula menyerap sebahagian dari kos sebenar untuk mengerjakan haji walaupun tidaklah begitu ketara pada awalnya.

Bayaran haji RM 9,980 mula dikenakan pada tahun 2009 diketika kos haji berjumlah RM 12,803 . Mulai dari tahun itu sehingga tahun 2019 bayaran haji tidak berubah walaupun kosnya sudah naik berganda-ganda. Pada tahun 2019 kos haji sudah berjumlah RM 22,900 sedangkan Bayaran Haji RM 9,980 hanyalah 44% dari kos haji. Bayaran ini tidak pun dapat membayar kos tiket penerbangan dan penempatan yang sudah naik kepada RM 17,400 dengan sepenuhnya. Ni belum masuk kos-kos seperti kos Masyair dan makanan yang ditanggung oleh TH.

Dari mana datangnya dana untuk menampung perbezaan di antara kos sebenar yang dibayar oleh TH dan bayaran yang dibayar oleh jemaah haji Muasasah?

TH sebagai sebuah institusi mengumpul deposit dari bakal-bakal haji dan rakyat Malaysia yang Muslim yang lain. TH tidak ada modalnya sendiri. Tak ada duit kerajaan di TH. Oleh itu setiap sen yang dipegang dan dibelanjakan oleh TH adalah dari dana milik pendeposit. Inilah sebabnya TH perlu berhati-hati di dalam membuat pelaburan dan operasinya.

Dana yang dikumpulkan ini dilaburkan di dalam beberapa jenis aset:

1. Saham
2. Pelaburan berpendapatan tetap seperti sukuk
3. Hartanah
4. Tunai di dalam pasaran wang sebelum dilaburkan di dalam aset-aset di atas atau pun sebagai aset jangka pendek untuk menguruskan kecairan yang perlu apabila pendeposit mahu mengeluarkan deposit mereka pada bila-bila masa.

Pelaburan di atas memberikan keuntungan kepada TH di dalam bentuk dividen, bayaran keuntungan dan juga keuntungan modal (capital gains) apabila aset-aset yang perlu dijual. Aset dijual apabila objektif pelaburannya dicapai atau pun apabila rugi (tak semua pelaburan untung) dan lebih baik dijual untuk dilaburkan ke dalam aset yang lebih berpotensi. Ini termasuk hartanah yang mana lokasinya sudah tidak strategik dan memerlukan belanja yang tinggi untuk menguruskannya seperti mengganti lif dan sistem pendingin hawa.

Keuntungan yang didapati digunakan untuk:

1. Membayar zakat
2. Menampung kos haji seperti yang dibincangkan di atas
3. Membayar kos pengurusan TH

Baki keuntungan yang ada akan diagihkan kepada pendeposit setelah mengambilkira keperluan untuk menjaga kestabilan TH.

Jadi, yang menanggung perbezaan di antara kos sebenar untuk mengerjakan haji dan bayaran yang dikutip dari jemaah haji Muasasah ialah pendeposit TH secara keseluruhannya. Ianya bukan subsidi yang dibayar oleh kerajaan.

Oleh kerana pendeposit juga inginkan pulangan yang munasabah dari dana yang mereka berikan untuk ditadbir oleh TH, semakin banyak TH menyerap kos haji, bahagian yang boleh diagihkan akan menjadi lebih kecil. Itu lebih memberi kesan apabila suasana ekonomi lemah seperti sekarang yang mana pulangan yang boleh didapati lebih rendah.

Sumber | Nik Hasyudee