Bila seorang ahli syurga semak harta seorang ahli syurga yang lain

 



Kita semua tentunya maklum akan kisah bagaimana Umar Al Khatab, Amirul Mukminin di ketika itu, pergi melawat rumah Abu Ubaidah Al-Jarrah yang merupakan Gabenor Syam di bawah pemerintahan Umar.

Salah satu amalan Umar ialah memeriksa harta pegawai-pegawai di bawah pentadbirannya untuk mempastikan mereka menjalankan amanah yang mereka pikul dengan jujur dan tidak menyalahgunakan kuasa yang dipegang.

Jadi, apabila dia berada di Syam, dia meminta Abu Ubaidah untuk membawanya ke rumah Abu Ubaidah.

Abu Ubaidah memberitahu Umar bahawa Umar akan menangis apabila melihat rumahnya. Namun Umar tetap mahu melihat sendiri rumah Abu Ubaidah dengan matanya sendiri. Apabila sampai di rumah Abu Ubaidah dan Umar melihat bertapa kecilnya rumah itu dan hampir tidak ada apa-apa di dalamnya, menagislah Umar. Kemudian Umar mengucapkan “Dunia telah mengubah kami semua selain engkau, wahai Abu Ubaidah.”

Biasanya kisah ini diceritakan untuk menunjukkan kejujuran dan juga sifat zuhud Abu Ubaidah. Walaupun beliau merupakan Gabenor Syam, bukan sahaja rumahnya kecil tetapi dia tidak memiliki apa-apa harta di dalamnya.

Saya ingin bawa perspektif tadbir urus yang dilaksanakan di bawah pentadbiran Umar Al Khatab. Dia mengamalkan pemeriksaan harta ke atas pegawai-pegawainya. Di dalam konteks kita sekarang, apa yang hampir sama ialah pengisytiharan harta oleh pegawai kerajaan dan juga menteri-menteri. Bila sudah diisytiharkan, bolehlah disemak jika perlu.

Jadi susah bagi saya untuk menerima kenyataan bahawa pengisytiharan harta ini datang dari ajaran komunis.
Apa yang lebih menarik ialah kedudukan Abu Ubaidah itu sendiri.

Dia termasuk di dalam 10 orang yang dijamin syurga oleh Rasulullah SAW

Rasulullah SAW pernah menyebut bahawa Abu Ubaidah adalah Aamiinu Hadzil Ummah (Orang kepercayaan ummat ini)

Kedua-dua kedudukan di atas sudah cukup untuk dijadikan alasan oleh Umar untuk mengecualikan Abu Ubaidah dari diperiksa hartanya.

Ini bukan pangkat dunia seperti Dato atau pun Tan Sri, ini adalah perakuan-perakuan dari Rasulullah SAW berdasarkan wahyu. Di dalam istilah sekarang, ni dah lebih dari golongan kayangan.

Namun, sebagai pemimpin, Umar sebagai Amirul Mukminin tidak mengecualikan sesiapa pun dari peraturan dan sistem tadbir urus yang diamalkan di bawah pentadbirannya.

Peraturannya terpakai kepada semua orang tak kira kedudukan mereka. Adakah Umar tidak tahu bahawa Abu Ubaidah sudah dijamin syurga dan digelar oleh Rasulullah SAW sebagai seorang Amin?

Apa yang saya boleh simpulkan ialah;

Sistem tadbir urus perlu ada di dalam pentadbiran agar orang yang memegang kuasa tidak menyalahgunakannya

Pengisytiharan harta atau pun pemeriksaan harta sudah diamalkan semenjak zaman Umar Al Khatab lagi.

Tidak ada sesiapa yang berada di atas mana-mana peraturan untuk menjaga amanah dan harta rakyat walaupun orang itu sudah dijamin masuk syurga dan disahkan sebagai seorang yang amanah.

واال أعلم

No comments: