Gabungan NGO tertanya-tanya apakah pelan kecemasan tangani Covid 19 PM Ismail Sabri?

 

Hampir 2 minggu setelah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri (PM) ke 9, masih tidak kelihatan pelan kecemasan menangani pandemik Covid 19 yang dibuat oleh pentadbiran beliau.

Gabungan Bertindak Memorandum Rakyat Malaysia (GBMRM) yang mewakili 99 NGO di seluruh negara, kurang senang dengan kelembapan PM Ismail Sabri dan kabinetnya yang diharapkan rakyat akan memberi penyelesaian tuntas kepada jangkitan harian Covid 19 yang tinggi dan perebakannya ke beberapa negeri yang semakin membimbangkan.

Menurut Jurucakap GBMRM, Mustapa Mansor Amer Mohd Isa, kegagalan respons segera yang dipaparkan oleh pentadbiran Ismail Sabri hanya mengesahkan kabinet 'kitar semula' yang diolok-olokkan warga maya selama ini sebagai benar dan langsung tidak boleh diharapkan mentadbir negara

"Barisan kepimpinan kerajaan yang baru bersifat “pentadbir kitar semula” terdiri daripada majoriti muka-muka lama yang terbukti gagal menjalankan fungsi dan tanggungjawab sebagai menteri serta timbalan menteri di portfolio masing masing . Secara relatifnya saiz kabinet juga besar dan tidak relevan dengan keperluan menyelesaikan krisis kesihatan dan ekonomi negara.

"Ismail Sabri juga membuat keputusan salah melantik barisan kabinetnya sebelum membuktikan keabsahannya memiliki sokongan majoriti di Parlimen. Tindakan ini dilihat bercanggah dengan tradisi demokrasi berparlimen.

"PM Ismail Sabri juga cuba bertindak dengan simpang siul teknikal mengelak tuntutan menentukan keabsahannya secepat mungkin. Sebagai contoh, beberapa hari selepas perlantikannya, beliau menjemput Ketua Pembangkang dan pemimpin parti pembangkang atas alasan ingin menjalin kerjasama bagi tujuan menyelesaikan masalah negara secara inklusif . Malangnya, berita baik yang ditunggu tunggu oleh rakyat hanya berakhir dengan perlantikan barisan kabinet yang penuh kontroversi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mustapa menambah, rakyat tidak akan memberi lebih banyak masa kepada kabinet Ismail Sabri untuk 'berbulan madu' kerana negara sedang dilanda krisis kesihatan.

Menurut beliau, penyelesaian pandemik dengan memutuskan rantaian Covid 19 harus dilakukan segera. Begitu juga pelan mewujudkan immuniti kelompok perlu ditangani secara holistik dan inklusif dengan penglibatan sistem rawatan dan sumber sumber kepakaran secara bersepadu.

"Apa yang rakyat lihat pengurusan vaksinasi masih tidak mencapai tahap kecekapan yang membolehkan sasaran 80% divaksin menjelang Oktober 2021 seperti yang disasar oleh kerajaan sebelum ini.

"Kerajaan juga gagal menjalankan program pendidikan vaksinasi secara komprehensif kepada rakyat. Pihak Kementerian Kesihatan turut tidak memberikan sebarang langkah alternatif kepada rawatan konvensional buat rakyat sebagai usaha pencegahan, sementara menunggu giliran divaksinasi," katanya.

Menurut beliau lagi, data-data infografik harian yang dipaparkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan bahawa penyelesaian pandemik di Malaysia jauh daripada pencapaian yang positif.

Berdasarkan data kes jangkitan dan kematian bagi 20 negara dalam tempoh 21 hingga 28 Ogos 2021, negara ini berada di tangga pertama dalam kadar kematian harian dan ditempat ketiga dalam kadar kes jangkitan baharu harian.

"Walaupun kes kritikal menurun, kes BID (Brought In Dead) masih tinggi. Kami bangkitkan perkara ini dengan harapan pihak kerajaan mengambil kira statistik ini sebagai indikator penting mengukur prestasi kualiti kawalan covid 19 .

"Pandemik yang berlarutan begitu lama telah memberi kesan psikologi dan kecelaruan mental kepada pesakit pesakit dan keluarga yang berkaitan. Apa yang dialami adalah berbeza beza , bergantung kepada beberapa faktor iaitu anak anak yang kematian ketua keluarga , pesakit dewasa yang masih di pusat kuarantin dan pesakit yang menjalani kuarantin kendiri.

"Persoalannya, apakah mereka ini mendapat khidmat penyantunan sosial yang sewajarnya? Apakah kerajaan mampu menyediakan barisan ‘frontliners’ dan tenaga kaunseling bagi tujuan ini?

"Kami juga ingin menarik perhatian kerajaan dalam menguruskan sumber peruntukan menyelesaikan isu pandemik. Ia merangkumi pembelian dan penyenggaraan aset aset perubatan, perbelanjaan tadbir urus dan menaik taraf perkhidmatan Kementerian Kesihatan.

"Bajet Covid 19 yang diluluskan sudah cukup membiayai segala keperluan. Kami menggesa kerajaan mempastikan tadbir urus yang telus dan adil dalam hal ini supaya segala perkhidmatan yang optimum dapat dimanfaatkan oleh rakyat sebagai pemegang taruh," katanya.

GBMRM juga menggesa agar kesihatan ekonomi negara diambil kira kerana Indeks Daya Tahan Covid 2021 oleh Bloomberg menunjukkan Malaysia berada ditangga 51 daripada 53 buah negara.

Hal itu, kata Mustapa, merupakan faktor ukuran kemajuan pembukaan semula ekonomi yang perlahan. Penanda aras dalam Pelan Pemulihan Negara hanya berlegar di sekitar aspek kesihatan iaitu kes harian Covid 19, kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) dan peratusan kadar penerimaan vaksin. Tiada penggunaan indikator ekonomi seperti kadar kehilangan pekerjaan, pengurangan pendapatan dan penutupan operasi perniagaan.

Justeru, gabungan NGO itu mahu kerajaan mempertimbangkan untuk membuka semula sektor ekonomi terutama yang berorientasikan buruh yang menggaji ramai pekerja.

Gabungan 99 NGO itu juga menyer agar PM Ismail Sabri mengambil langkah langkah tuntas dalam menangani masalah kesihatan dan ekonomi negara dengan cara yang lebih inklusif dan tidak lagi bercampur aduk dengan tindakan tindakan ‘politiking’ yang merugikan semua pihak.


No comments: