PUSINGAN U ROS SUATU KEMENANGAN BUAT ZAHID HAMIDI, TAPI MENJADIKAN ISMAIL SABRI PM ‘LAME DUCK’


 Orang yang paling gembira dengan keputusan pusingan U Jabatan Pendaftar Pertubuhan atau RoS membenarkan penangguhan pemilihan UMNO selama 18 bulan tentunya ialah Ahmad Zahid Hamidi.

Kegembiran itu barangkali menyamai gembiranya kerana pulih dalam tempoh yang singkat daripada pembedahan baru-baru ini dan seterusnya dapat mempengerusikan mesyuarat MT UMNO sebaik saja keluar daripada hospital.

Dengan keputusan terbaru RoS yang disampaikan semalam melalui sepucuk surat kepada Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan, pemilihan UMNO peringkat cawangan, bahagian dan MT diberi tempoh untuk diadakan sehingga 29 Disember 2022.

Bermakna, sehingga tarikh tersebut, Zahid Hamidi akan terus memimpin dan menerajui UMNO, meskipun tempoh tiga tahun beliau memegang jawatan Presiden UMNO sepatutnya berakhir 30 Jun lalu.

Sekaligus bererti, sementara Ismail Sabri Yaakob adalah Perdana Menteri sekarang ini, tetapi oleh kerana beliau hanya Naib Presiden UMNO, dari segi parti, Zahid Hamidilah yang paling berkuasa sekali.

Sekiranya sebelum pemilihan UMNO 2022 nanti akan diadakan PRU15, maka semua watikah calon untuk bertanding tetap memerlukan tandatangan beliau selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN.

Bukan saja Ismail Sabri, malah Annuar Musa, Shahidan Kassm atau sesiapa pun juga, sama ada mereka dapat bertanding lagi atau tidak dalam PRU15 akan datang, semuanya terletak kepada budi bicara Zahid Hamidi sebagai penentu akhirnya.

Jika beliau tidak sedia menurunkan tandatangannya kepada sesiapa yang tidak disukainya, bakal meloponglah mereka.

Dengan ini, meskipun baru menjalani pembedahan, Insha Allah Zahid Hamidi akan terus bertambah sihat lagi selepas ini.

Tetapi, dalam waktu yang sama, keputusan RoS itu adalah berita sedih dan malang buat Ismail Sabri yang kini baru seminggu memegang jawatan Perdana Menteri.

Keputusan RoS itu dengan sendirinya menjadikan beliau kekal sebagai Naib Presiden UMNO sehingga Disember 2022 dan merupakan satu-satunya Perdana Menteri yang tidak menjadi Presiden parti atau mengetuai gabungan parti-parti politik tertentu.

Perdana Menteri sebelum ini sejak Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj hingga kepada Mahiaddin Md Yasin, semua mereka adalah termasuk dalam kriteria tersebut dengan menjadi Presiden parti dan mengetuai gabungan parti-parti yang menyokong mereka.

Dengan keadaan itu, Ismail Sabri akan menjadi Perdana Menteri yang “lame duck” atau itik tempang kerana tidak mempunyai keseimbangan antara kuasa dalam memimpin negara dan menguasai pengaruh politik.

Dalam banyak perkara beliau akan terhalang daripada mampu melakukan sesuatu berikutan dokongan politik yang kukuh tiada bersamanya.

Sudah tentu kemantapan kuasa seseorang Perdana Menteri itu dalam menjalankan tugasnya akan jadi berbeza jika memiliki pengaruh politik yang kukuh berbanding hanya berpaut pada dahan yang rapuh.

UMNO yang dipimpin oleh Zahid Hamidi selain akan sentiasa memantau dan memerhatinya, malah Ismail Sabri terpaksa lebih berhati-hati serta perlu merujuk kepada parti dalam pelbagai tindakan atau dasar yang ingin dilakukannya.

Sebagaimana itik tempang berjalan tidak seimbang, begitulah kedudukan Ismail Sabri dalam hari-hari seterusnya berikutan pusingan U RoS itu.

Jika tiada pusingan U oleh RoS, pemilihan UMNO hampir pasti perlu diadakan hujung tahun ini dan ia adalah peluang terbaik untuk Ismail Sabri “melanggar” Zahid Hamidi.

Sebagai Perdana Menteri, Ismail Sabri juga tentunya berhajat untuk menyusun orang-orangnya sebagai calon PRU15, tetapi oleh kerana dirinya bukan Presiden UMNO dan Pengerusi BN, maka beliau terpaksa berunding atau mungkin merayu kepada Zahid Hamidi untuk tujuan itu.

Itu pun jika Zahid Hamidi sedia berunding dan mudah dipujuk, kalau tidak Ismail Sabri pun terlopong-lopong sama akhirnya nanti.

Lebih memburukkan lagi keadaan jika sebelum PRU15 akan datang nanti, Zahid Hamidi sudah dibebaskan daripada semua pertuduhan mahkamah yang dihadapinya dan beliau telah bersih sepenuhnya.

Adakah ketika itu Zahid Hamidi setuju menamakan lagi Ismail Sabri untuk terus jadi Perdana Menteri?

Tidak mustahilkah Zahid Hamidi sendiri akan meletakkan dirinya sebagai calon Perdana Menteri? 


– ShahbudinHusin 31/08/2021.