BUKAN SAJA PADAH TAK TEPATI MASA, INI JUGA PADAH BUDAYA DOUBLE STANDARD

 

May be an image of 1 person and text that says "i 29 T GEMILANGDAILY.COM Terkini!!! Keputusan batal pingat emas Ziyad kekal"


Jelas sekarang, Ziyad Zulkefli bukanlah mangsa protes kotor dari Ukraine, tetapi kesilapan besar pegawai kontinjen Malaysia yang bertanggungjawab menguruskan kepatuhan protokol athlet istimewa itu di Paralimpik Tokyo.

Bukan saja mereka melakukan kesilapan dengan tidak memastikan Ziyad sampai ke call room dan mendaftarkan diri untuk pertandingan mengikut masa yang ditetapkan, tapi Malaysia juga dihidangkan dengan cerita putar alam kononnya kita kehilangan emas akibat protes dari negara di mana terkuburnya pesawat MH17 itu.

Cerita protes Ukraine ini turut dimainkan oleh Menteri Belia dan Sukan sendiri, maka netizen pembawang negara pun pantas bertindak meranapkan kesejahteraan hidup Ukraine di alam cyber.

Cerita sebenar pantas terbongkar juga. Tiada langsung protes dari Ukraine, tetapi rupanya Ziyad bersama 2 athlet lain telahpun diklasifikasikan sebagai non-starter apabila gagal mendaftarkan diri di call room. Beliau hanya dibenarkan memasuki gelanggang sementara protes dari Malaysia dipertimbangkan oleh juri.

Tak perlulah saya ulas panjang tentang kejadian itu, kerana ia satu peraturan yang memang biasa. Malah kekhilafan warga Malaysia dari aspek itu juga adalah satu kebiasaan. Biasalah. Malaysia.

Saya teringat betapa munafiknya pentadbiran sukan di Malaysia dalam aspek menepati masa ini. Dan ini mungkin satu petunjuk dari Yang Maha Esa untuk kita sedar. Akhirnya.

Saya berikan contoh dalam perlumbaan berbasikal kategori nasional dahulu.

Banyak kali berlaku kejadian di mana pelumba didiskualifikasi atau tidak diklasifikasikan dalam result akibat gagal sign-in sebelum permulaan perlumbaan.

Ada juga berlaku insiden di mana perlumbaan dilepaskan tepat pada waktu atau ikut budaya Malaysia "give or take 15 minutes", dan ada pasukan yang tertinggal akibat lambat sampai ke garis permulaan.

Ini semua perkara biasa berlaku dalam sukan tempatan kita.

Namun, munafiknya juga ada.

Banyak juga berlaku insiden di mana perlumbaan tertangguh, kadangkala hingga berjam, kerana menunggu Menteri, Meneri Besar atau VIP yang dijemput hadir untuk flag-off perlumbaan.

Tidak pula VIP itu diperludahkan saja supaya race jalan tepat pada waktunya. Apakah dalam sukan ini VIP lebih penting dari athlet? Memang tidak penting, tapi jelas diberi keutamaan dan double standard yang condong melebihkan mereka.

Inilah budaya amalan kita yang bukan saja memudaratkan bila tidak pernah dibendung, malah membawa bala besar dengan kehilangan satu pingat emas yang sepatutnya jelas milik kita. Itulah petunjukNya.

Maka kita tidak perlu berdalih, mengkambinghitamkan negara lain yang tidak bersalah.

Malah sempat juga memfitnah Ukraine memprotes sedangkan mereka tidak melakukan perkara itu.

Ukraine cuma mendapat menfaat dari disiplin dan amalan budaya profesionalisme yang lebih tinggi dari kita. Dan menfaat itu adalah pingat emas ke-15 mereka di Paralimpik Tokyo. Mustahil mereka begitu dahagakan pingat emas sehingga mahu mengautnya ikut pintu belakang.

Kita yang harus sedar bahawa kita telah mendapat satu pengajaran yang amat perit akibat pembudayaan amalan yang salah dalam kehidupan kita sendiri.

Sekian.

Arnaz M. Khairul