Pertemuan khas Raja-Raja Melayu bincang calon PM hari ini

 

Astro Awani
Pertemuan khas Raja-Raja Melayu bincang calon PM hari ini
Pertemuan khas Raja-Raja Melayu dijangka akan berlangsung pada sebelah petang. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Hari ini Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan mengadakan satu pertemuan khas dengan Raja-Raja Melayu bagi membincangkan isu bakal calon Perdana Menteri dan kerajaan.
Perkara itu disahkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin pada Rabu lalu.
Perjumpaan itu dijangka akan berlangsung pada sebelah petang.
Semalam, seramai 114 Ahli Parlimen daripada beberapa parti dipanggil menghadap Seri Paduka Baginda untuk mengesahkan akuan bersumpah (SD) mereka terhadap calon Perdana Menteri.
Kesemua parti yang dipanggil seperti UMNO, Barisan Nasional, GPS, Pas dan Bersatu telah mengemukakan calon Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri yang ke-9.
Setakat pagi ini, tiada laporan yang mengesahkan gabungan Pakatan Harapan Plus yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Raja-Raja Melayu telah bersidang beberapa kali sejak tahun lalu apabila kemelut politik dan COVID-19 melanda negara.
Pada 28 Februari 2020, satu mesyuarat khas Raja-Raja Melayu diadakan di Istana Negara bagi membincangkan perkembangan politik semasa susulan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hilang kuasa berikutan Bersatu keluar daripada PH.
Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh serta pengerusi Bersatu dan beberapa jam kemudian Yang di-Pertuan Agong melantiknya sebagai Perdana Menteri Interim.
Sementara itu, pada 16 Jun lalu, sesi perbincangan khas Raja-Raja Melayu diadakan atas inisiatif Yang di-Pertuan Agong dan dipengerusikan baginda di Istana Negara.

No comments: