Di tulis Oleh YB Anthony Loke.
Menjunjung Kasih Tuanku!
DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong telah berkenan
melantik Ahli Parlimen Bera, YAB Dato’ Seri Ismail Sabri bin Yaakop sebagai
Perdana Menteri Malaysia ke-9 selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara
43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan kerana beliau mendapat sokongan 114 Ahli
Dewan Rakyat.
Semua pihak perlu menghormati keputusan tersebut kerana ia
berlandaskan kehendak Perlembagaan Persekutuan dan selari dengan prinsip
Keluhuran Perlembagaan.
Walaupun Dato’ Seri Ismail Sabri bukan piihan saya dan
rakan-rakan saya sebagai Perdana Menteri, namun kami perlu patuh kepada
keputusan tersebut untuk memastikan kelangsungan sistem Demokrasi Berparlimen
kita yang berteraskan kepada prinsip Raja Berperlembagaan.
Sudah tentu ramai penyokong kami yang kecewa dan bertanya
mengapa parti UMNO yang dikalahkan pada PRU14 kini kembali berkuasa? Mengapa
pembangkang tidak ada strategi lain? Mengapa bukan calon lain? Mengapa tawaran
Tan Sri Muhyiddin untuk berdamai ditolak? Dan banyak lagi persoalan. Semua ini
adalah polemik yang tidak ada kesudahannya kerana masing-masing ada pandangan
sendiri.
Hakikatnya ialah semua 105 Ahli Parlimen dalam blok pembangkang
bersatu dalam keputusan kita dan menyokong Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai
calon tunggal dari blok pembangkang.
Yang menyebabkan Pakatan Harapan tidak dapat mengambil balik
semula tampuk kerajaan dan menaikkan semula UMNO bukanlah sesiapa dalam blok
pembangkang pada hari ini tetapi 18 Ahli Parlimen yang menang di atas tiket PH
pada PRU-14 iaitu 12 dari KEADILAN dan 6 dari BERSATU. Mereka menjatuhkan
kerajaan PH pada Februari 2020 dan menaikkan UMNO pada hari ini!
Pada hemat saya, biarlah rakyat menjadi penentu dan hakim pada
PRU-15 nanti.
Tetapi dari sekarang sehinggalah PRU-15, semua pihak sama ada
kerajaan atau pembangkang perlu mencari satu titik persefahaman untuk
mengembalikan fokus sepenuhnya terhadap usaha memerangi wabak Covid-19 dan
merendahkan suhu politik.
Semua pihak perlu berlapang dada dan mengambil iktibar daripada
nasihat Seri Paduka Baginda supaya menghulurkan tangan untuk bekerjasama supaya
yang menang tidak menang semua manakala yang kalah tidak kalah semua.