‘Kami seolah perlu rayu untuk tingkat vaksinasi rakyat sendiri’, kata Sultan Johor

 

Sultan Iskandar Sultan Ibrahim mengharapkan imuniti kelompok dapat dicapai secepat mungkin di Johor, malah di seluruh negara supaya kesannya kepada kehidupan seharian semua lapisan rakyat dapat pulih. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan kekecewaan atas kadar vaksinasi di negeri Johor yang dilihat masih rendah.

“Amat mengecewakan apabila kami seolah-olah perlu merayu untuk mempertingkatkan kadar vaksinasi untuk keselamatan rakyat kita sendiri,” titah baginda di Facebook hari ini.

Baginda bertitah, mengikut statistik media sosial Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), sehingga 3 Ogos, sebanyak 32.3% atau 1,222,507 individu baru menerima vaksin dos pertama manakala hanya 12.8% atau 483,869 individu telah menerima dos kedua di seluruh Johor.

“Saya sebagai Sultan Johor bertanggungjawab dan diamanahkan untuk menjaga rakyat saya.

“Nyawa tidak boleh dijual beli. Saya selalu fikirkan penderitaan rakyat saya, terutamanya mereka yang jatuh sakit dengan Covid-19, dan yang telah meninggal dunia.

“Keadaan penularan yang sememangnya membimbangkan kini menjadi lebih parah dengan merebaknya kes-kes varian Delta. Strateginya amat jelas, iaitu kita mesti memvaksinkan seramai mungkin populasi negeri kita dengan kadar secepat yang mungkin,” titah baginda.

Sultan Ibrahim berkata, baginda bersama Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, sudah lama berbincang dengan pihak tertentu dan meminta vaksin yang lebih banyak untuk rakyat Johor, amat mengharapkan imuniti kelompok dapat dicapai secepat mungkin di Johor, malah di seluruh negara supaya kesannya kepada kehidupan seharian semua lapisan rakyat dapat pulih.

No comments: