hariri


“Kami ingin nyatakan, penarikan sokongan terhadap PN dan Perdana Menteri kerana tidak mahu bersengkokol dengan penderhaka yang telah beberapa kali mempermainkan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Bahkan, tidak timbul langsung soal sabotaj gerak kerja kerajaan PN kerana semua rakyat tahu perdana menteri gagal mentadbir negara dengan kes Covid-19 semakin meningkat, bukan menurun sepanjang darurat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menyifatkan Ketua Pemuda PN, Ir. Khairil Nizam terlalu angkuh dan perlu cermin diri terlebih dahulu sebelum membuat tuduhan dangkal dan jijik kepada rakan Muafakat Nasional (MN).

Menurut beliau, krisis Perlembagaan yang berlaku hari ini, jelas membuktikan semua parti komponen dalam PN layak digelar sebagai kluster derhaka.

Justeru, Noor Hariri yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Mas menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin segera meletakkan jawatan secara terhormat kerana telah hilang sokongan majoriti dan keabsahan selaku ketua kerajaan.

Pada masa sama, beliau meminta semua Ahli Parlimen UMNO akur keputusan MKT untuk tidak berkompromi dengan sebarang perbuatan penderhakaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Mesyuarat MKT pada 3 Ogos lalu, katanya, telah memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mempertahankan kerajaan PN selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.

“Ahli Parlimen UMNO mesti menunjukkan kesetiaan dan ketaatan yang tidak berbelah bagi kepada Seri Paduka Baginda YDP Agong sebagai menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan,” katanya.