Gabungan Bertindak Memorandum Rakyat Malaysia (GBRM) hari ini melancarkan protes aman menaikkan bendera hitam atau putih ke seluruh negara.
Menurut kenyataan GBRM, protes itu diadakan susulan kata dua mereka tempoh hari agar kerajaan Perdana Menteri Mahiaddin Yassin mengarahkan Parlimen dibuka sebelum 13 Ogos.
"Lanjutan dari memorandum Rakyat Malaysia yang diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong maka desakan rakyat Malaysia diteruskan (secara protes aman) bermula Sabtu sehingga PM dan Kabinetnya meletak jawatan.
"GBMRM mulakan protes aman tanpa berhimpun di dalam kereta, motorsikal atau basikal pada 14 Ogos 2021," kata kenyataan tersebut.
Gerakan itu mengingatkan rakyat yang mahu memprotes agar mengikut pematuhan Prosedur Operasi Piawai (SOP) mengikut negeri masing-masing.
"Kibarkan bendera putih atau hitam atau pasang lampu kenderaaan tanpa perhimpunan fizikal," kata mereka lagi.
Jelas GBMRM, tema bendera putih mewakili rayuan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu agar menyelamatkan negara Malaysia.
Manakala tema bendera hitam pula adalah perjuangan melawan pemerintah zalim, menentang politik wang dan rampasan mandat rakyat.
GBMRM juga bersolidariti kepada rakyat seluruh Malaysia yang terkorban, hilang pekerjaan dan depresi hingga membunuh diri akibat Covid 19.
Sebagai permulaan GBMRM melancarkan protes kibarkan bendera hitam putih dari Chow Kit ke Masjid Negara, Kuala Lumpur petang ini.