Survey: 94.6% tak setuju sekolah buka 1 September

 

Pada 

Oleh B. Suffian

Sebanyak 94.6 peratus daripada 421,446 responden tidak bersetuju untuk sekolah dibuka pada 1 September depan, menurut pungutan suara Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH).

Dalam pungutan suara atas talian berkenaan, yang dilakukan dalam tempoh 48 jam dan berakhir hari ini, hanya 5.4. peratus responden yang bersetuju. 

“Dari semua responden tersebut, seramai 87.1 peratus atau  367,079 orang terdiri dari kalangan ibu bapa, manakala 9.7 peratus adalah guru dan 2.4 peratus adalah dari kakitangan sekolah. 

“Bilangan kes yang semakin meningkat, dan juga bilangan kematian yang semakin tinggi menjadikan ibu bapa tidak mahu memperjudikan nasib anak-anak mereka,” kata JKPPH dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 17 Julai lalu, media melaporkan. Kementerian Pendidikan (KPM) membuat ketetapan bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka mulai 1 September depan.

Susulan itu, banyak pihak meminta kementerian menangguh pembukaan sekolah tersebut ekoran kes harian Covid-19 yang masih tinggi.

Dalam pada itu, JKPPH memberitahu, di samping pungutan suara tersebut, pelbagai pungutan suara juga telah dilakukan oleh banyak pihak melalui atas talian membantah sekolah dibuka pada 1 September nanti. 

“Hal ini perlu diberikan perhatian serius oleh KPM di dalam membuat keputusan berhubung perkara tersebut, katanya.

Kenyataan itu menyebut, dalam mengharungi dampak wabak Covid-19 kepada pendidikan dan dalam membawa solusi kepadanya, kerajaan dan rakyat perlu berpijak di atas lima dasar utama yang tidak boleh diabaikan dan ditinggalkan iaitu:

1.  Keselamatan dan nyawa rakyat wajib diberikan keutamaan;

2.  Akses pendidikan berkualiti untuk semua;

3.  Pendidikan adalah tanggungjawab semua pihak; 

4.  Tiada satu contoh mithali yang boleh dikatakan terbaik. Usaha inovasi perlu sentiasa berjalan.

5. Pendidikan adalah proses holistik pembinaan kemanusiawian dan potensi di dalam diri individu. – Roketkini.com

No comments: