BUKAN KERJA MAHIADDIN SIBUK2 MEMIKIRKAN SIAPA ORANG LAIN ADA MAJORITI ATAU TIDAK UNTUK MENGGANTINYA

 

Dalam perutusan khas bersalut pelbagai tawaran berbentuk rasuah politik petang semalam, Mahiadin Md Yasin berkata, beliau tidak akan meletakkan jawatan kerana tiada sesiapa Ahli Parlimen lain yang ada sokongan majoriti untuk menggantikannya.

Sambil mengakui keabsahannya kini menjadi pertikaian kerana ada beberapa Ahli Parlimen menarik sokongan terhadapnya, tapi tambah beliau, tiada sesiapa yang lain pula memiliki majoriti.

“Saya memikirkan dalam keadaan tiada seorang pun Ahli Dewan Rakyat lain yang mendapat sokongan majoriti pada masa ini, Perdana Menteri yang baru tidak boleh dilantik menurut Perlembagaan.

“Apabila Perdana Menteri tidak boleh dilantik, maka kabinet pun tidak boleh dilantik dan kerajaan baru tidak dapat dibentuk,” katanya.

Kesimpulan mudah dan nyata daripada kedegilan Mahiaddin untuk berundur, meski menyedari keabsahannya dipertikaikan dan tawaran-tawaran yang dikemukakannya secara tidak langsung pula menunjukkan beliau memang tiada lagi sokongan majoriti, kononnya ialah kerana bimbang tiada pemimpin lain memiliki sokongan majoriti untuk menggantikannya.

Apa yang Mahiaddin perlu faham dan sedar dalam hal ini, soal siapa Perdana Menteri selepas dirinya dijatuhkan bukan lagi urusan beliau untuk memikirkannya.

Walaupun Parlimen boleh menjatuhkan Perdana Menteri atau mengabsahkan kedudukan Perdana Menteri, tetapi Parlimen tidak ada kuasa melantik seorang Perdana Menteri baru melalui undi majoriti.

Kuasa melantik Perdana Menteri adalah hak mutlak Yang Dipertuan Agong berdasarkan mana-mana Ahli Parlimen yang pada hemat baginda ada memiliki sokongan majoriti.

Siapa calon Perdana Menteri biarlah Agong memilihnya berdasarkan penilaian dan kebijaksanaan baginda atas pelbagai faktor untuk membuat penentuan mengenainya.

Jadi, kenapa Mahiaddin perlu sibuk-sibuk memikirkan orang lain ada majoriti atau tidak?

Apakah Mahiaddin cuba mahu merampas dan mengambil alih hak Agong yang telah termaktub dalam Perlembagaan?

Lebih afdal sebenarnya beliau memikirkan tentang nasib dirinya sendiri yang tidak majoriti lagi ketika ini.

Selain dirinya yang tiada majoriti, yang penting juga harus disedari oleh Mahiaddin ialah undi untuk menolak dan menjatuhkannya memang memiliki majoriti yang mencukupi.

Dirinya yang tiada majoriti dan usaha menjatuhkannya yang memang memiliki majoriti setakat ini sudah cukup untuk membuatkan rakyat boleh bergembira menempuh hari-hari seterusnya selepas ini berbanding kebimbangan Mahiaddin tentang tiada calon Perdana Menteri lain yang yang didakwanya tiada sokongan majoriti.

Lagi pun, menjatuhkan Perdana Menteri yang tiada majoriti serta selama ini takut menguji sokongan dimilikinya jauh lebih penting untuk ditunaikan perlaksanaannya lebih dahulu daripada memikirkan siapa calon Perdana Menteri baru yang ada sokongan majoriti. 


(ShahbudinHusin 14/08/2021)