JANGAN PERCAYA JANJI TERDESAK MAHIADDIN, BLOK PENENTANG KERAJAAN MESTI ELAK DARIPADA DILABEL PENGKHIANAT

 

Tiada kesimpulan lain dapat dirumuskan daripada perutusan khas luar biasa Mahiaddin Md Yasin petang tadi yang pertama kali dihiasai 9 pak pacak menteri berdiri di belakangnya, melainkan ia suatu pengakuan bahawa beliau memang sudah hilang sokongan majoriti.

Lantaran menyedari tiada lagi sokongan majoriti di belakangnya dan bimbang dikalahkan dalam undi percaya di Parlimen nanti, beliau telah membuat tujuh tawaran terbuka yang bermaksud beliau mesti dimenangkan dalam pengundian itu nanti:-

• RUU Perbekalan (Belanjawan) akan dirundingkan terlebih dahulu dengan semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.

• Pelaksanaan Undi 18 tanpa menunggu pelaksanaan pendaftaran automatik yang mengambil masa.

• Mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja.

• Undang-undang antilompat parti akan dikuatkuasakan.

• Peruntukan tahunan yang sama kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik.

• Separuh daripada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen diwakili pembangkang dan akan dipengeruskan oleh Ahli Parlimen pembangkang.

• Ketua Pembangkan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri kanan.

Turut dijanjikan ialah PRU15 untuk mengembalikan hak rakyat akan diadakan pada Julai 2022.

Nampak sangat Mahiaddin ketika ini begitu terdesak dan sanggup menjanjikan apa saja, tanpa memikirkan bahawa sebahagian janjinya itu adalah merupakan rasuah terbuka yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara.

Demi kuasa, walaupun anak ulama, Mahiaddin sanggup menawarkan apa saja untuk memastikan kuasa kekal dalam genggamannya.

Hello SPRM, bila lagi nak siasat dan tangkap Perdana Menteri yang terang-terang cuba menawarkan rasuah kepada Ketua Pembangkang?

Apakah Mahiaddin ingat Ketua Pembangkang iaitu Anwar Ibrahim penyandangnya sekarang begitu hairan dengan tawaran saraan dan kemudaan yang setara dengan menteri kanan itu?

Lagi pun, apakah janji orang terdesak macam Mahiaddin ini boleh dipercayai?

Lupakah beliau janji pemberian face mask percuma dan 150 ribu laptop sebelum ini pun tak ditunaikan lagi, inikan pula janji-janji bak bulan bintang kali ini?

Selepas disokong dan dan beliau berjaya kekal lagi sebagai Perdana Menteri, sudah tentu lain pula dalihnya nanti.

Selain itu, kenapa baru sekarang dan hanya setelah tidak mampu mengelak lagi daripada berdepan usul undi percaya, baru beliau hendak membuat janji dan tawaran yang indah-indah kepada pembangkang?

Ini dengan jelas menunjukkan Mahiaddin tidak ikhlas dan tawaran yang dibuat ini hanya bertujuan melepaskan tengkuknya saja.

Oleh yang demikian, dalam hal ini blok pembangkang mesti tegas dan bersatu hati menolak semua tawaran Mahiaddin itu.

Cuba mengekalkan lagi beliau sebagai Perdana Menteri hanya bererti meneruskan lagi era kerajaan gagal mentadbir negara ini.

Sekaligus ia juga bermakna mengekalkan kehidupan rakyat dalam derita dan sengsara tanpa pembelaan yang sewajarnya daripada kerajaan yang tiada keupayaan mentadbir negara.

Berikutan kegagalan Mahiadin dan kerajaan PN yang berlarutan sebelum ini, rakyat pada hakikatnya mahukan kerajaan dan Perdana Menteri baru mentadbir negara ini.

Waima sampai bulan Julai tahun depan sekali pun, kononnya ketika itu PRU15 akan diadakan, memberi lebih masa lagi kepada kerajaan PN dan Mahiaddin terus berkuasa, ia juga adalah suatu bentuk pengkhianatan namanya.

Blok penentang kerajaan PN, termasuk Anwar sekali pun, jika sedia menerima tawaran Mahiaddin ini, pasti rakyat juga tidak ragu-ragu menggelar mereka sebagai pengkhianat juga.

Mahiaddin yang secara terbuka memperlihatkan beliau tiada lagi sokongan majoriti, seharusnya mesti meletak jawatan atau dipaksa meletak jawatan, bukannya diselamatkan.

Tiada pilihan yang dapat membuatkan rakyat gembira melainkan blok penentang kerajaan terus dengan tekad dan iltizam untuk menghumban Mahiaddin daripada kekuasan yang diperolehinya secara pengkhianatan sebelum ini. 


(ShahbudinHusin 13/08/2021)



No comments: