Buka tutup sekolah: Pastikan keputusan berpandukan data dan sains

 

Oleh Roketkini

Di dalam isu buka tutup sekolah, Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) menggesa agar Kementerian Pendidikan memastikan segala keputusan yang hendak diambil mestilah berpandukan data dan sains.

Dalam satu kenyataan, JKPPH berkata, keputusan yang diambil kementerian perlu berteraskan panduan yang telah diberikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dengan mengambil kira kadar jangkitan dalam komuniti, peningkatan kes baharu, kadar kematian dan kes yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU). 

“Kedua, KPM hendaklah mempunyai pelan strategik yang jelas, komprehensif dan meyakinkan berkaitan panduan buka dan tutup sekolah yang dibangunkan bersama dengan pihak pakar kesihatan.

“(Pakar kesihatan ini termasuk) dari WHO, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Kementerian Kesihatan dan juga Hospital Pakar Universiti Malaya. 

“Pelan dan SOP yang telus ini mestilah dibentangkan kepada rakyat,” katanya hari ini.

Kenyataan itu turut mengumumkan keputusan pungutan suara yang dijalankan JKPPH sebelum ini yang menunjukkan sebanyak 94.6 peratus daripada 421,446 responden tidak bersetuju untuk sekolah dibuka pada 1 September depan. 

Dalam pada itu, kenyataan tersebut menambah, Kementerian Pendidikan perlu mengelakkan daripada membuat keputusan berdasarkan kaedah ‘One Size fits all’ (pukul rata). 

Keputusan berpusat (centralized) untuk pembukaan dan penutupan sekolah tidak akan membantu, jelasnya, menyebabkan ramai pelajar keciciran, menyebabkan munculnya kluster sekolah dan telah terbukti gagal sebelum ini. 

Menurut JKPPH, KPM perlulah membentangkan terlebih dahulu prosedur operasi standard (SOP) khas untuk pelajar kategorikan ‘non vaksin’ di dalam kawasan sekolah dan di luar kawasan sekolah berdasarkan sains dan data sebelum meneruskan keputusan mereka untuk membuka sekolah. 

Kenyataan itu memberitahu, KPM juga perlu selesaikan proses vaksinasi kepada semua yang terlibat dalam ekosistem pendidikan dari kalangan guru, pekerja sekolah, termasuk kakitangan kantin, pengawal keselamatan dan pemandu bas dan van sekolah tanpa terkecuali. 

“Keselamatan mereka perlu diberikan keutamaan di dalam apa pun keputusan yang diambil. 

“Dahulukan vaksinasi kepada mereka yang luar bandar kerana kadarnya sedikit berbanding di luar bandar, dan agar sekolah-sekolah di sana boleh dibuka segera. Lakukan pemberian vaksin di kawasan sekolah tanpa mereka perlu ke pusat pemberian vaksin (PPV).

Menurut kenyataan tersebut, kerajaan juga perlu mengkaji semula untuk membenarkan program vaksinasi pada pelajar kelas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) secara sukarela. 

“Ramai ibu bapa yang boleh bersetuju dengan keputusan untuk membenarkan anak-anak ini kembali ke sekolah jika anak-anak mereka telah menerima vaksin,” katanya.

Selain itu, jelas JKPPH, KPM harus berbincang dan melibatkan banyak pihak seperti Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Kesatuan Guru-Guru Malaysia Barat (KGMMB), Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) dan Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM), persatuan-persatuan ibu bapa dan pihak Malaysian Paediatric Association (MPA) sebelum mengambil apa-apa keputusan berhubung isu ini. 

Tambahnya, jika KPM bertegas ingin semua sekolah dibuka, pastikan ianya dilakukan secara berfasa dengan keutamaan diberikan kepada: 

(a) Sekolah-sekolah luar bandar dan pedalaman yang kurang murid terlebih dahulu. 

(b) Disusuli sekolah-sekolah di kawasan hijau

(c) Kemudian barulah pembukaan sekolah ke kawasan yang kadar penerima vaksinnya melebihi had imuniti kelompok. 

Pembukaan serentak di seluruh negara dikhuatiri hanya akan mengulangi kluster sekolah seperti sebelum ini. 

Sementara itu, kenyataan tersebut berkata, jadual persekolahan bergilir juga perlu dilaksanakan selain dari SOP yang ketat bagi sekolah-sekolah yang padat demi mengelakkan faktor kepadatan di sekolah mengulangi insiden kluster sekolah sekali lagi. 

“Banyakkan masa murid-murid berada di luar bilik darjah dan di tempat yang terbuka. Penularan virus dalam ruangan tertutup 18 kali ganda dari ruang terbuka. Dalam keadaan terbuka, penularan berkurangan.

“Apa yang utama ialah apa sahaja keputusan yang diambil oleh KPM, kuasa autonomi hendaklah diberikan kepada pihak sekolah dengan kerjasama pejabat pendidikan daerah (PPD) untuk merangka apa yang terbaik dengan keadaan lokaliti mereka berdasarkan panduan dari semua pemegang taruh seperti PIBG, pihak pengusaha kantin dan bas sekolah, Pusat Kesihatan Daerah (KKM), Pihak Berkuasa Tempatan, dan juga pihak MKN. 

“Segala keputusan mestilah berdasarkan analisis data yang terperinci berhubung daerah tersebut,” katanya. 

No comments: