Muhyiddin ‘habis bersilat’, akui sudah hilang majoriti, kata penganalisis


Pengumuman Perdana Menteri jelas mengakui beliau tidak lagi menikmati sokongan majoriti di Parlimen, kata Mohd Fadzil Abdul Rahman. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pengumuman Perdana Menteri hari ini melenyapkan semua teka-teki dengan Muhyiddin Yassin sendiri memberi isyarat, sambil jelas mengakui beliau tidak lagi menikmati sokongan majoriti di Parlimen.

Penganalisis politik, Mohd Fadzil Abdul Rahman, berkata hal berkenaan diakui Muhyiddin sewaktu membentangkan usul pentadbiran bipartisan dalam sidang media khasnya.

“Namun, kita juga tidak boleh menganggap ianya terdesak dari satu sisi pandang kerana hakikatnya tiada satu parti pun yang mempunyai bilangan selesa untuk menganggap mana-mana pihak mempunyai majoriti. Secara verbal dan secara congaknya mungkin ada yang mengakui sudah mempunyai majoriti.

“Bagaimanapun, secara rasminya tiada apa-apa jaminan kukuh terhadap bilangan yang dikatakan itu. Selagi mana tiada rang undang-undang lompat parti dilaksanakan, selagi itulah segalanya berkemungkinan,” katanya kepada FMT.

Katanya, situasi politik di negara ini sentiasa berada dalam ketidaktentuan mengikut “angin semasa”.

“Hari ini bilangannya lain esok lusa lain pula ceritanya. Jadi sukarlah untuk kita membuat apa apa perkiraan yang muktamad,” katanya merujuk pihak mana yang sudah mempunyai jumlah majoriti bagi menubuhkan kerajaan baharu bersama pelantikan Perdana Menteri baharu.

Katanya, keputusan Muhyiddin enggan meletakkan jawatan sememangnya ada kaitan untuk kekal memerintah.

Mengulas berkenaan tawaran “semua kerajaan” kepada parti pembangkang, Mohd Fadzil berkata, kemungkinan ada sedikit daripada kalangan pembangkang akan memberi sedikit sambutan.

“Namun, ianya amat tertakluk kepada pengaruh dan ketetapan pucuk pimpinan masing-masing. Berkemungkinan besar Pakatan Harapanlah (PH) yang akan menjadi penentang utama terhadap usul pentadbiran bipartisan ini,” katanya.

Beliau berkata, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dilihat tidak akan beralah kepada Muhyiddin dan akan terus berusaha mencetuskan persoalan keabsahan Presiden Bersatu itu untuk kekal menjadi Perdana Menteri.

No comments: