Anwar calon PM pembangkang, kata Shafie


Warisan akan memberi sokongan penuh kepada Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

PETALING JAYA: Blok pembangkang memutuskan Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim sebagai calon tunggal perdana menteri gabungan itu, kata Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal.

“Anwar adalah calon kami, calon tunggal daripada pembangkang. Parti saya akan memberi sokongan penuh kepada Anwar sebagai perdana menteri,” katanya menurut laporan The Borneo Post.

Sebelum ini media melaporkan, parti pembangkang bersetuju menamakan Shafie sebagai pilihan kedua bagi jawatan nombor satu itu selepas Anwar, dengan sokongan asas masing-masing seimbang membabitkan 105 Ahli Parlimen.

Bagaimanapun, Shafie hari ini menyatakan dukacitanya berikutan ketiadaan sokongan daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk merealisasikan pelantikan perdana menteri dari Borneo kali ini.

Walaupun Ahli Parlimen Semporna itu berjanji dan berusaha untuk merealisasikan hasrat berkenaan, Shafie berkata ia tidak akan berhasil tanpa sokongan padu GPS.

Bagaimanapun, bekas menteri persekutuan itu berharap blok parti Sabah-Sarawak akan bersatu pada pilihan raya umum akan datang, yang dijangka diadakan pada pertengahan 2023 namun difahamkan akan diadakan lebih awal.

“Ia bukan untuk saya, ia sudah pun dipersetujui oleh nenek moyang kita bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bahawa negeri Borneo seharusnya mempunyai hak sama rata seperti sebuah wilayah,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung GPS, Alexander Nanta Linggi berkata gabungan itu bersedia memberi sokongan penuh kepada Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri ke-9.

GPS adalah sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional diketuai Muhyiddin Yassin, yang meletakkan jawatan sebagai perdana menteri Isnin lalu.

No comments: