SAPA NAK PERCAYA HANG DAH...PE....AQ KAWAQ

 Kerajaan PN tumbang: Ulamak Pas mula serang pemimpin Umno


Kerajaan PN tumbang: Ulamak Pas mula serang pemimpin Umno


Beberapa pimpinan ulama PAS semakin giat menggambarkan betapa mereka marah kepada sesetengah pemimpin Umno yang dianggap menjadi punca kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kemelut politik sekarang.

Mereka juga secara berlapik dan tersirat menyarankan agar orang ramai tidak mengundi pemimpin terbabit dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Malah ada antara mereka – bersumpah atas nama Tuhan – mendakwa memang tidak mempercayai pemimpin Umno terbabit sejak awal lagi selepas berasa ragu dengan “senyuman sinis” individu terbabit

Anggota Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat, Mokhtar Senik, berkata sebelum ini dia sudah memberi peringatan kepada kawan-kawannya agar berwaspada dengan individu tersebut.

Tanpa menamakan siapa tokoh berkenaan, Mokhtar berkata, langkah, fikrah, kata-kata dan karakter individu terbabit sudah lama menggambarkan dia akan mengkhianati kerajaan PN.

Namun katanya ada antara mereka tidak percaya, tidak senang bahkan mereka menyindir serta menyingkirkan dia dari kumpulan WhatsApp.

Tidak terkilan dengan layanan yang diterimanya, Mokhtar bagaimanapun berkata, telahannya menunjukkan dia benar apabila pemimpin berkenaan “khianat” kepada PN.

Mokhtar turut melampirkan tulisan di Facebook itu dengan komen didakwanya dibuat mengenai individu tersebut pada Jun lalu.

Sudah ada rasa hati

Dalam hantaran itu Mohktar berkata, dia menyaksikan sendiri Presiden PAS Abdul Hadi Awang dipeluk oleh individu berkenaan dan dia menyaksikan wajah pemimpin Umno terbabit.

“Wallahi saat itu hati saya tidak percaya dengan kamu. Saat teman-teman saya memuji-muji kamu, saya kawal lidah agar tidak memuji sama. Maaf, hati saya tetap ragu dengan lirik wajah senyum sinismu.

“Teman-teman saya bertanya kenapa saya tidak dapat menerima kamu? Saya jawab jauh di lubuk hati, saya tidak percayakan kamu. Saya tidak bertuhankan rasa hati. Tapi saya berjaga-jaga dengan rasa hati saya.

“Alhamdulillah, suara hati saya benar. Kamu khianati tok guru kami. Kamu khianati pengikut-pengikut kecuali orang yang sekluster dengan kamu,” katanya.

Walaupun tidak menyebut nama sesiapa, dipercayai Mokhtar merujuk kepada Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, yang kini mengetuai gerakan menarik sokongan ahli parlimen Umno daripada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Sebagai rekod Ahmad Zahid sebelum ini menjadi teraju utama yang menggabungkan Umno dan PAS melalui Muafakat Nasional (MN).

Sementara itu seorang lagi anggota Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat, Ahmad Dusuki Abdul Rani, pula bersuara mengenai perlunya mandat daripada rakyat.

Katanya pelantikan perdana menteri baru selepas ini akan terus jadi pertikaian tanpa mandat tersebut.

PRU ke-15 medan terbaik

Justeru katanya kemelut berkenaan perlu dipulihkan dengan adanya mandat berkenaan untuk mana-mana pihak menjadi kerajaan.

“Krisis berlanjutan ini disebabkan 15 orang ahli parlimen Umno yang menarik sokongan kepada kerajaan PN sebelum ini,” katanya juga di media sosial.

Dia turut menyalahkan pembangkang yang didakwanya kemaruk kuasa selepas ia terlepas daripada mereka selepas 22 bulan menjadi kerajaan.

“Sesiapa pun yang dilantik selepas ini untuk menjadi perdana sebelum pilihan raya umum terjadi, akan berhadapan kebuntuan dan keabsahannya akan dipertikai kerana keegoan dan kesombongan kegilaan kuasa ini berterusan. Kecuali Allah menyatukan hati sesama kepimpinan kembali,” katanya.

Justeru kata Ahmad Dusuki PRU ke-15 diperlukan untuk menamatkan kemelut perebutan kuasa yang berlaku sekarang.

“Rakyat! Jangan undi mereka, dan jangan pilih mereka! Ingat tu,” katanya.

Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria pula memberi gambaran betapa ramai lagi mereka yang bersih daripada pertuduhan mahkamah boleh diangkat sebagai pemimpin.

“Ke mana mereka nak bawa kita? Pertimbangan agama, bangsa, negara, rakyat, atau kedudukan parti dan diri mereka?” tanya exco Perak itu.

Menurut Razman, ketika ini masih ramai rakyat yang ikhlas, bersih dari pertuduhan dan cerdik pandai untuk diangkat.

“PRU ke-15 medan terbaik untuk kita semua,” katanya.