Calon PM disokong kleptokrat, MP Bersatu enggan respon

 

Calon PM disokong kleptokrat, MP Bersatu enggan respon


Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin – yang sebelum ini menolak kerjasama dengan kleptokrat – tidak mahu mengulas mengenai sokongan sebulat suara daripada Umno kepada Ismail Sabri Yaakob – termasuk dari kumpulan kleptokrat atau kluster mahkamah.

“Itu saya rasa saya tak nak komenlah, sebab yang paling penting sekarang ini kita akan tumpu pada agena membantu rakyat,” katanya ketika ditanya apakah dia selesa untuk bersama Ismail yang dikatakan menikmati sokongan kumpulan kleptokrat di dalam Umno.

“Apa-apa yg baik untuk rakyat, kita tengoklah,” kata ahli parlimen Bersatu itu ketika dihubungi hari ini.

Ismail Sabri merupakan pemimpin Umno yang menyokong kelangsungan kerajaan PN – sebelum ini diterajui Bersatu – bertentangan dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang mahu menamatkan kerjasama berkenaan.

Selepas peletakan jawatan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin selaku perdana menteri kelapan, Ismail Sabri sememangnya dilihat calon yang akan menerima sokongan daripada Bersatu sebagai perdana menteri terbaru.

Jika sebelum ini Muhyiddin sendiri menegaskan dia tidak akan bersekongkol dengan kumpulan kleptokrat bagi menyelamatkan kedudukan sebagai perdana menteri, semalam, Ismail Sabri dilaporkan menerima sokongan sebulat suara daripada Umno.

Ini termasuk beberapa pemimpin Umno yang terpalit kes mahkamah membabitkan rasuah, yang digelar sesetengah pihak sebagai kluster mahkamah atau kleptokrat.

Willie, bersama dua lagi ahli parlimen Sabah dan Sarawak dari Bersatu, Ali Biju (Saratok) dan Jonathan Yasin (Ranau) sebelum ini turut mengeluarkan kenyataan mengangkat pendirian Muhyiddin.

Mereka bertiga – yang adalah bekas ahli parlimen PKR itu – turut mencabar Pakatan Harapan (PH) untuk menyatakan pendirian berkenaan kerjasama dengan “kleptokrat”.

Willie bagaimanapun enggan mendedahkan keputusan pilihan calon perdana menterinya.

“Keputusan saya rahsia, tapi saya menyokong agenda rakyat,” katanya

No comments: