Ini bukan pengakhiran, terima kasih anak muda!

 

Kenyataan Media
Ini bukan pengakhiran, terima kasih anak muda!
Sekretariat Solidariti Rakyat berkata, mereka berjaya mengawal SOP dengan baik dan semua peserta memakai pelitup muka serta menjaga jarak antara satu sama lain. - Gambar/ Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
SEKRETARIAT Solidariti Rakyat mengucapkan jutaan terima kasih kepada ribuan anak muda dan rakyat Malaysia yang hadir secara fizikal mahupun secara maya dalam himpunan #KeluarDanLawan hari ini.
Ribuan anak muda telah turun untuk menuntut Perdana Menteri (Tan Sri) Muhyiddin Yassin segera meletakkan jawatan.
Namun di peringkat sekretariat, kami kecewa tidak dapat berarak ke Dataran Merdeka walaupun pihak polis sendiri mengakui bahawa perhimpunan ini berjalan secara aman. Pihak kami memilih Dataran Merdeka kerana lokasi tersebut akan memudahkan pengawalan SOP terutamanya penjarakan sosial.
Kita berjaya mengawal SOP dengan baik dan semua peserta memakai pelitup muka serta menjaga jarak antara satu sama lain. Pihak Sekretariat Solidariti Rakyat menganggarkan seramai lebih 2,000 anak muda turun berhimpun.
Dengan penjarakan sosial yang dibuat, barisan yang terbentuk dianggarkan sepanjang tiga kilometer.
AWANI Ringkas: 400 peserta protes #Lawan, dihalang memasuki Dataran Merdeka
Hampir 2,000 anak muda turun ke jalan menyatakan suara untuk mendesak Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan dan lebih 272,000 ciapan (tweet) berkenaan #Lawan serta 20,000 ciapan mendesak agar Dataran Merdeka dibuka.
Ini menjadi bukti bahawa rakyat terutamanya anak muda sudah muak dengan pentadbiran Muhyiddin yang gagal mengemudi negara untuk keluar daripada pandemik COVID-19.
Hari ini, peserta-peserta kami juga telah menunjukkan bahawa kita boleh dan mampu protes di jalanan dengan selamat untuk menegakkan hak-hak kita. Terima kasih buat para peserta dan sukarelawan kami kerana mendengar arahan marsyal-marsyal protes dan berjaya mematuhi SOP sepenuhnya.
Anak-anak muda kita sedang bersuara bagi setiap rakyat Malaysia yang tidak boleh, atau tidak akan keluar protes walaupun mereka sedang merasai kesan tatatadbir yang gagal dan juga penindasan.
Sukarelawan-sukarelawan perubatan kami juga akan terus #Lawan di hospital, pusat-pusat kuarantin, PPV dan juga di jalanan kerana berdiam diri bukan lagi satu pilihan.
Petang tadi, kami baharu sahaja menerima berita bahawa lima orang penganjur daripada sekretariat kami telah dipanggil untuk memberi kenyataan kepada polis di IPD Dang Wangi pada jam 10 pagi esok. Lima penganjur ini merupakan Mohamad Al Shatri bin Abdullah, Mohammad Asraf Sharafi bin Mohammad Azhar, Tharmelinggem Pillai, Qyira Yusri dan Sevan Doraisamy.
Sekali lagi, kami mengingatkan Muhyiddin Yassin serta seluruh Kabinet untuk segera berundur dan meletakkan jawatan. Ini bukan pengakhiran kepada tuntutan anak muda. Kita tidak akan sesekali berundur.
Sekiranya hari ini kita tidak melawan, kita akan ditindas lagi dan lagi! Hidup rakyat!
#Lawan
Dikeluarkan oleh:
Sekretariat Solidariti Rakyat

* Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan WRLR

No comments: