Bekas pegawai menteri PH buat laporan polis terhadap Hadi

 

PETALING JAYA: Bekas pegawai-pegawai menteri dan timbalan menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini membuat laporan polis terhadap Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkenaan artikel beliau yang diterbitkan dalam Harakah Daily, semalam.

Setiausaha politik kepada Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh, Nor Miswary Ramli membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, susulan mendakwa artikel yang ditulis oleh Hadi berunsur fitnah terhadap kerajaan PH.

“Kami berpandangan artikel itu boleh menghasut, menyebabkan dan menyebarkan kebencian serta berunsur fitnah terhadap kerajaan PH,” katanya dalam sidang media selepas laporan dibuat.

Miswary, berkata artikel Hadi Awang yang bertajuk “Politiking untuk menyingkirkan Islam” mendakwa bahawa PH merupakan kerajaan yang melumpuhkan Islam dan umatnya supaya terus berada dalam kelekaan.

Ujarnya, intipati artikel tersebut mampu mencetuskan ketakutan dan mengganggu keharmonian dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum, selain menimbulkan kebencian masyarakat terhadap kerajaan PH.

“Sebagai presiden sebuah parti politik di Malaysia artikel Hadi Awang tersebut mampu mempengaruhi ahli penyokong parti dan pengikutnya serta boleh mencetuskan ketidakharmonian agama di dalam negara.

“Artikel tersebut disiarkan dengan niat mahu menimbulkan kebencian melampau orang ramai terhadap PH, serta membangkitkan kemarahan orang Melayu Islam,” katanya.

Beliau yang juga merupakan bekas pegawai tugas-tugas khas timbalan menteri, pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat menggesa siasatan dilakukan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM).

Justeru, Miswary yang juga hadir bersama wakil daripada DAP dan Amanah berharap pihak polis melakukan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang bertanggungjawab.

No comments: