TIADA ALASAN PARLIMEN DITANGGUH ISNIN DEPAN, KP KESIHATAN TAK HARUS JADI ALAT POLITIK

 


Majlis Presiden Pakatan Harapan meneliti trend yang berlaku di Parlimen pada Khamis, 29 Julai lalu, iaitu siri penangguhan selepas terbitnya kenyataan media Istana Negara.

Kenyataan tersebut antara lain telah menyatakan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat pada 26 Julai dengan berkata pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat telah mendapat perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Kenyataan tersebut juga telah berkata permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat oleh Kerajaan Perikatan Nasional gagal menghormati kedaulatan undang-undang dan telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Umum Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pada Khamis lalu, sidang telah ditempohkan empat kali. Salah satu alasan yang diguna ialah terdapat sejumlah kes positif COVID-19 di Parlimen, yang menyaksikan semua yang berada di Parlimen dihalang dari keluar dan diarah melakukan ujian saringan COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah telah memaklumkan bahawa 1,183 orang telah disaring di mana 11 didapati positif COVID-19. Dari 11 ini, 1 membuat saringan RT-PCR manakala 10 yang lain membuat saringan RTK.

Berdasarkan laporan Ketua Pengarah Kesihatan, kadar positif di Parlimen adalah 0.9%, manakala nilai ambang (threshold) yang disaran WHO bagi menentukan jumlah ujian saringan yang mencukupi ialah 5%. Ini bermaksud tidak ada jumlah kes positif COVID-19 yang signifikan di Parlimen sepanjang minggu lalu.

Oleh itu, isu jangkitan COVID-19 tidak boleh dan tidak patut dijadikan alasan untuk menutup atau menangguh sidang Parlimen yang perlu diteruskan pada Isnin, 2 Ogos 2021.

Majlis Presiden menggesa semua pihak termasuk pegawai-pegawai Kementerian Kesihatan untuk tidak bersekongkol dengan Kerajaan Perikatan Nasional untuk melakukan helah untuk sengaja menutup sidang Parlimen pada Isnin ini.

Jika Parlimen ditutup dengan hanya dengan kadar kurang daripada 1%, Parlimen berkemungkinan besar tidak akan bersidang lagi kerana hakikatnya COVID-19 akan terus berada di dalam masyarakat (endemic) bukan hanya di Malaysia, malah di seluruh dunia.

Kami juga memberi amaran keras kepada Tan Sri Mahiaddin Md Yassin agar tidak memperalat agensi dan Kementerian-Kementerian, termasuk Ketua Pengarah Kesihatan, untuk menutup Parlimen pada Isnin ini.

Ketua Pengarah Kesihatan juga diingatkan agar tidak membenarkan diri beliau diperalat demi menutup Parlimen dan menghalang sidang khas seperti yang dititah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Walau apapun yang berlaku, Ahli-Ahli Parlimen tidak boleh dihalang dari hadir ke Parlimen pada hari Isnin ini untuk melaksana tugas dan tanggungjawab kami kepada Rakyat dan Negara, serta melaksana sumpah yang telah kami angkat iaitu untuk memelihara, melindungi serta mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Tan Sri Mahiaddin wajib mendengar suara Rakyat yang mahu titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agung dijunjung dengan membahas dan memutuskan Ordinan-Ordinan Darurat di Parlimen pada Isnin ini.

Anwar Ibrahim

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

Mohamad Sabu

Parti Amanah Negara (AMANAH)

Lim Guan Eng

Parti Tindakan Demokratik (DAP)




No comments: