TERUS PERTAHAN KERAJAAN PN, APA LAGI PERTAHANKAN MAHIADDIN, KEDUA2NYA ADALAH TINDAKAN DERHAKA

 

Jika kita perhatikan sejak awal lagi, penderhakaan terhadap titah Yang Dipertuan Agong ini bukan saja dilakukan oleh Mahiaddin Md Yasin, tetapi juga melibatkan seluruh anggota kabinet kerajaan PN.

Dengan yang demikian, Mahiaddin, anggota kabinet, kerajaan PN dan parti-parti yang mendokongnya adalah sama derhaka kepada Agong.

Titah Agong sebelum ini adalah jelas mahukan Parlimen dibuka dengan segera dan secepat mungkin, malah menitahkan agar proklamasi darurat dan ordinannya dibentang serta dibahaskan di Dewan Rakyat.

Dengan tidak mematuhi titah tersebut, bahkan melengah-lengahkan pembukaan Parlimen sehingga baginda bertitah sebanyak tiga kali, bermakna Mahiaddin dan seluruh anggota kabinet kerajaan PN adalah bersalah dan dianggap telah derhaka kepada titah Agong.

Kenapa tiada anggota kabinet, termasuk daripada UMNO dan Pas yang konon parti masing-masing sentiasa berjuang untuk mempertahankan dan mendaulatkan Raja-Raja, berani tampil bersuara agar titah Agong itu dipatuhi, sesuai dengan kehendak Istana iaitu Parlimen harus dibuka dengan segera dan secepat mungkin?

Dan jika pun Mahiaddin enggan mematuhi titah Agong itu atas kepentingan melindungi jawatannya, apakah menteri-menteri daripada UMNO dan Pas hanya mampu berdiam diri saja dan langsung tidak berani bersuara, sedangkan yang ingin dijunjung serta dipatuhi adalah titah Raja?

Kepada siapa sebenarnya kesetiaan mereka dalam perjuangan dan dengan jawatan menteri yang dipegang – kepada Raja atau kepada Perdana Menteri?

Lupakah mereka di depan siapa mereka mengangkat sumpah jawatan menteri?

Kemudian apabila mesyuarat kabinet pada 21 Julai lalu membuat keputusan membatalkan darurat dan ia diumumkan oleh Takiyuddin Hassan di dalam Parlimen, walhal persetujuan Agong belum diperolehi ketika itu, ini bermakna sekali lagi Mahiaddin, menteri-menteri kabinet dan kerajaan PN telah bersikap derhaka kepada Agong.

Kenapa tiada seorang pun menteri kabinet, khususnya daripada UMNO dan Pas, tampil bersuara mengatakan kerajaan melakukan tindakan yang salah dan derhaka lagi kepada Agong untuk kali yang seterusnya?

Sekali lagi juga ingin ditanya, kepada siapa kesetiaan anggota kabinet ini dalam perjuangan dan jawatan yang mereka pegang – Agong atau Mahiaddin?

Dengan kita sekarang memahami bahawa penderhakaan kepada Agong ini tidak saja dilakukan oleh Mahiaddin selaku ketua kerajaan, tetapi juga melibatkan semua anggota kabinetnya yang bermakna kerajaan PN adalah turut sama derhaka, maka mereka yang terus mempertahankan Perdana Menteri dan kerajaan PN ini adalah dianggap derhaka.

Dengan itu, tindakan Ismail Sabri atas kapasiti selaku Ketua Whip PN dan mewakili Ahli-Ahli Parlimen BN serta Pas yang terus menyatakan sokongan terbuka kepada Mahiaddin untuk terus menerajui negara, meskipun setelah Agong menzahirkan perasaan amat dukacita yang ia adalah bermaksud baginda murka, ia adalah suatu penderhakaan yang nyata terhadap Agong.

Mahiaddin sebenarnya bukan saja tidak harus dipertahankan lagi, malah seluruh kabinet ini sepatutnya meletakkan jawatan jika benar kesetiaan mereka dalam sumpah selaku warganegara adalah kepada Agong selaku Raja yang mengetuai negara.

Malah, keputusan UMNO yang dipertegaskan oleh beberapa pemimpin utamanya yang mengatakan mereka terus mempertahankan kerajaan PN, walaupun dalam masa yang sama mendesak pengunduran Mahiaddin, turut merupakan suatu persekongkolan dengan penderhakaan kepada Agong juga.

Zahid Hamidi, Najib Razak dan beberapa pemimpin UMNO lain yang berulangkali menjustifikasi mengapa sokongan kepada kerajaan PN diteruskan, tanpa sedar atau sengaja demi mengejar kuasa, mereka adalah juga dianggap derhaka.

Mahiaddin dan seluruh anggota kabinet yang sah derhaka ini tidak boleh dipisahkan dengan kerajaan PN kerana keseluruhannya mereka adalah derhaka semuanya.

Menolak Mahiaddin seorang tidak membersihkan menteri-menteri kerajaan PN yang ada daripada dosa penderhakaan yang telah dilakukan secara berjemaah terhadap Agong itu.

UMNO dalam hal ini, jika mahu menolak Mahiaddin, mereka juga mesti menolak keseluruhan kabinet dan kerajaan PN bersekali dengannya.

Memisahkannya, malah jika menyelitkan harapan dengan pengunduran Mahiaddin, ia akan membolehkan tampuk pemerintahan kerajaan diambil alih oleh pemimpin UMNO yang sedia ada menganggotai kabinet seperti Ismail Sabri yang sekarang memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri misalnya, ini bererti parti itu ingin meneruskan sosok yang derhaka terus berada di kerusi Perdana Menteri.

Kegilaan apakah semua ini, menolak Mahiaddin yang derhaka, tetapi cuba meletakkan pemimpin yang turut bersama dengan penderhakaan Mahiaddin sebagai gantinya?

Untuk menyelamatkan negara dan bagi menjamin kedudukan Agong selaku Raja dan Ketua Negara sentiasa terpelihara, selain Mahiaddian dan seluruh anggota kabinetnya, kerajaan PN itu sendiri wajib diganti dengan sebuah kerajaan baharu yang lain.

Tidak kira siapa Perdana Menteri dan apa nama kerajaan sekali pun selepas ini, ia mesti bukan lagi PN yang sudah dicop derhaka sehingga membuatkan Agong amat berdukacita dan murka.

Negara selepas era penderhakaan ini seharusnya dipimpin oleh nakhoda dan anak-anak kapal yang tidak terpalit sama sekali dengan kejijikan penderhakaan Mahiaddin bersama mereka yang seperdosaan dan bersekongkol dengannya. 


(ShahbudinHusin 31/07/2021)