Hadi kata orang Islam dalam PH khadam kerajaan sekular
Pas mengingatkan rakyat negara ini agar tidak mengulangi perkara sama sebagai mana berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kira-kira tiga tahun lalu.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, peralihan kuasa dari kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) hanya menyaksikan perubahan kepada kerajaan sekular yang didominasi oleh kalangan bukan Islam dan seluruh kumpulannya.
Kata beliau, sehingga ada kumpulan Islam ketika itu terpengaruhu dengan kerajaan sekular berkenaan dan mereka tidak lebih daripada sekadar menjadi khadam setelah menjadi pejuang sebelum ini.
“Mereka ini (kumpulan Islam) ikut serta bersuara melindungi perancangan kerajaannya yang secara halus melumpuhkan Islam dan umatnya supaya terus berada dalam kelekaan atau menjadi syaitan bisu.
“Namun, kita bersyukur kerana berjaya menyatukan parti umat Islam dan bumiputera seperti UMNO, Pas dan Bersatu, di samping parti bukan Islam yang menolak pendekatan ekstrem.
“Kita akhirnya berjaya menubuhkan kerajaan campuran Perikatan Nasional (PN) kerana menyedari pendekatan ekstrem tidak akan mampu menyelamatkan negara dan rakyat,” katanya menerusi Minda Presiden, hari ini.
Menurut Abdul Hadi, kelemahan PH ketika memerintah dalam masa yang singkat bersama kemenangan yang rapuh ternyata penuh dengan penipuan.
Justeru, kata Ahli Parlimen Marang itu, penguasaan kerajaan PN yang menunjukkan perubahan positif akan dicabar kerana dominasi umat Islam dan kalangan yang tidak ekstrem itu dibimbangi dapat menyelesaikan banyak masalah yang akan membina semula kekuatan umat.
“Maka, sudah pasti wujudnya gerakan untuk menjatuhkan kerajaan PN dengan segala cara.
“Oleh itu, rakyat yang sedar dan insaf, terutama pemimpin negara, jangan ditipu lagi dan hendaklah menghalang anasir perosak yang berpakat untuk menyingkirkan Islam dalam negara.
“Pada masa sama, hendaklah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan supaya rancangan yang sedang berlangsung di beberapa negara Islam seperti di Turki dan Mesir, gagal dibawa masuk ke negara kita,” katanya.
Apatah lagi, kata beliau, adanya ejen yang bersedia melakukannya dan tidak seharusnya masih dibiarkan berkeliaran.
“Kalau dahulu kita ditipu oleh penjajah British, janganlah pula hari ini kita berulang ditipu sehingga berkali-kali,” katanya.