Pengarah Komunikasi KEADILAN Pulau Pinang, Amir Ghazali menggesa
pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap nasib Feri Pulau Pinang yang
tersadai dan tenggelam baru-baru ini.
Beliau berkata, adalah mendukacitakan apabila khazanah dan ikon pelancongan negeri yang buat sekian lama itu dibiarkan dalam keadaan yang amat menyedihkan.
"Ia bukan setakat modus operandi pengangkutan utama sebelum adanya jambatan Pulau Pinang, ikon yang berjasa ini telah pun menghubungkan tanah besar dan pulau buat 126 tahun lamanya," katanya.
Justeru, beliau meminta Prasarana dan Kementerian Pengangkutan mengambil tindakan bagi menyelamatkan feri ini.
"Semua sedia maklum yang perkhidmatan feri berada di bawah seliaan Prasarana, sebuah agensi di bawah Kementerian Pengangkutan.
"Maka Prasarana adalah autoriti yang dilihat punya kapasiti dan dana untuk menyelamatkan ikon tersebut.
"KEADILAN Pulau Pinang menggesa Kementerian Pengangkutan agar serius untuk menjadikan ikon ini sebagai tarikan utama pelancongan di negeri ini.
"Adalah dicadangkan agar feri yang tenggelam ini diperbaiki termasuk dicat semula dan kemudiannya dijadikan sebagai sebuah tugu di negeri ini.
"Tentang lokasi, saya percaya kerajaan negeri boleh menyediakan tempat yang strategik untuk mengabadikan sejarah pengangkutan bersejarah ini," katanya.