By
-
11 June 2021
Thiban Subramaniam
KUALA LUMPUR – Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan
penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran) dilihat tidak lebih daripada
impiannya untuk kembali berkuasa.
Itu dakwaan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Thiban
Subbramaniam yang terkilan dengan sikap bekas Perdana Menteri itu yang
mencadangkan diri sendiri untuk mengetuai Mageran.
“Dalam sidang media semalam, Mahathir
telah cadangkan Mageran dan dirinya untuk ketuai badan itu. Apa logiknya tindakan
ini? Saya sungguh tidak faham langsung sebenarnya.
“Di saat rakyat sedang bergelut dengan Covid dan juga ekonomi,
cadangan Mahathir untuk membuat Mageran adalah satu langkah ke belakang yang
akan membawa kesan buruk kepada negara ini.
“Situasi negara hari ini tidak sama seperti situasi tahun 1969.
Apakah kewajaran Tun M cadangkan Mageran?” soalnya dalam satu kenyataan hari
ini.
Menurut Thiban, rata-rata rakyat dan
pemimpin politik dari parti pembangkang mahu pun kerajaan seperti UMNO telah
menegaskan pendirian mereka untuk mendesak kerajaan menamatkan darurat yang
didapati gagal mengekang penularan Covid-19.
“Namun tindakan Tun Mahathir mencadangkan Mageran kepada Yang
Dipertuan Agong jelas menunjukkan beliau bersungguh-sungguh untuk kembali
berkuasa dengan apa jua cara pun.
“Mengecewakan sungguh mengapa kuasa begitu penting walaupun
sebelum ini beliau telah dua kali menjadi Perdana Menteri dan ketika menerajui
negara apa yang menjadi janji perjuangan semuanya hanya tinggal janji, ini
bukan saya cakap tapi seluruh rakyat sedia maklum,” katanya lagi.
TAK DAPAT BAYANGKAN KALAU TUN M JADI PENGERUSI MAGERAN –
RAZEEF
Semalam,
Mahathir yang juga Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata,
cadangan itu dikemukakan atas keyakinan ia mampu menyelesaikan isu ekonomi,
politik, sosial dan kesihatan yang dihadapi negara, kesan penularan pandemik
Covid-19.
Beliau berkata, keyakinan itu bersandarkan kejayaan penubuhan
Mageran pada tahun 1969 yang diketuai Timbalan Perdana Menteri ketika itu,
Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein berjaya menyelesaikan masalah politik
dihadapi ketika itu dan negara kekal stabil untuk tempoh panjang.
Kata Thiban lagi, sebenarnya Mahathir mempunyai agenda serta
strategi untuk memastikan kerajaan tidak bertukar sekaligus mengangkat Datuk
Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri seterusnya.
“Tun bukan nyanyuk, ini adalah strategi beliau untuk pastikan
kerajaan tidak bertukar khususnya Anwar tidak diangkat sebagai Perdana Menteri.
“Tindakan beliau mencadangkan Mageran dengan menawarkan diri
sebagai pengerusi jelas menunjukkan beliau terdesak untuk kembali berkuasa
setelah kerajaan PN gagal teruk,” ujarnya.
Justeru, Thiban memohon Yang di-Pertuan Agong untuk mengetepikan cadangan Mahathir dan mengembalikan demokrasi di negara ini dengan mengembalikan semula sidang Dewan Rakyat. -MalaysiaGazette