Politikus terdesak cuba bentuk kerajaan baru guna nama Agong?
KEADILAN mengecam perkembangan terbaharu mengenai ura-ura sesetengah ahli politik dalam parti tertentu yang cuba untuk mencari sokongan mengumpulkan Akuan Berkanun (SD) bagi merancang kemungkinan membentuk kerajaan baharu.
Pengarah Komunukasi KEADILAN, Fahmi Fadzil menolak tindakan golongan berkenaan yang kononnya mendakwa mendapat ‘restu’ daripada Yang di-Pertuan Agong.
“KEADILAN mendapat maklum dan menzahirkan kebimbangan tentang khabar yang sedang tersebar bahawa beberapa Ahli Parlimen yang tidak memegang jawatan kepimpinan utama parti mereka sedang berusaha mendapatkan SD bagi meraih sokongan Ahli-Ahli Parlimen untuk mendapatkan jawatan di dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
“Parti turut difahamkan bahawa Ahli-Ahli Parlimen ini berbuat demikian dengan dakwaan kononnya mereka telah mendapat ‘restu’ Yang Di-Pertuan Agong.
“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan prinsip raja berperlembagaan kami percaya bahawa dakwaan ‘restu’ ini adalah tidak benar sama sekali dan merupakan satu percubaan jelek untuk mendapatkan habuan bagi kelompok tertentu pada ketika negara berada di dalam krisis,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, tindakan menggunakan nama Agong bagi mencari sokongan secara mengumpulkan SD di tengah-tengah pandemik Covid 19 amatlah tidak sesuai.
Katanya, rakyat menolak tindakan kelompok politikus yang mendahului Agong dan ‘gila kuasa’ seperti itu.
“Parti mengambil pendirian nama Duli Yang Maha Mulia Tuanku tidak patut diguna sebagai helah untuk meraih sokongan Ahli-Ahli Parlimen, apatah lagi apabila sokongan itu tidak menyelesaikan persoalan besar tentang halatuju kepimpinan negara kita pada ketika ini.
“Tindakan terdesak kelompok ini wajar ditolak oleh rakyat. Tumpuan sekarang harus ke arah memulihkan ekonomi dan membela rakyat yang cukup terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya lagi.
Sejak beberapa hari lalu timbul spekulasi percubaan pembentukan kerajaan baharu yang cuba diusahakan oleh sebahagian pimpinan Umno, Bersatu dan beberapa parti dari Malaysia Timur.
Kerajaan baharu ini dirancang untuk mengambil alih pentadbiran Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin secara membeli sokongan Ahli Parlimen kerajaan memerintah dan pembangkang.