Dulu beristiqamah kepada Islam, sekarang Pas beristiqamah kepada PM
PAS terlibat secara langsung dalam mengambil alih kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dibejati dengan krisis kepimpinan dan moral sehingga membosankan rakyat.
Setelah membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengikut lunas demokrasi, PAS yang diberikan beberapa peranan dalam Kabinet terus menjalankan tugas masing-masing tanpa banyak soal, kerana PAS meletakkan kepentingan rakyat yang lebih diutamakan.
Secara khusus, PAS memahami keadaan darurat pandemik Covid-19 dan menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya dihentikan segala ‘politicking’ yang boleh menganggu kestabilan pemerintahan negara.
Namun, masih lagi terdapat dalam kalangan kita yang seolah-olah meletakkan Malaysia berada di luar alam bumi. Mereka masih tidak henti-henti daripada ‘politicking’ dan sangat bernafsu untuk mengambil alih tampuk kepimpinan negara dan negeri dalam suasana Covid-19 yang sebegini rupa.
Rasulullah SAW membandingkan kumpulan ini laksana mereka yang berada di petak bawah di dalam sebuah bahtera, di mana mereka ingin menebuk kapal daripada bawah kerana bersikap gopoh ingin mendapatkan air untuk mereka sahaja tanpa mengira semua orang yang berada di dalam bahtera. Mereka perlu dihalang agar semuanya selamat.
Khalifah ‘Uthman bin ‘Affan RA juga menegaskan:
إنَّ اللَّهَ يَزَعُ بِالسُّلْطَانِ مَا لَا يَزَعُ بِالْقُرْآنِ.
“Allah memberikan kuasa kepada pihak yang berkuasa untuk bertindak dalam apa-apa perkara yang tidak disebutkan oleh al-Quran.”
Bertindak dengan tegas tanpa perasaan waswas, kerana waswas itu datangnya daripada syaitan.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Dari Jendela Institut Jantung Negara (IJN).
Bertarikh: 28 Syawwal 1442 / 9 Jun 2021