Kakitangan KKM tidak ditambah, usaha lawan Covid sukar berjaya
Peningkatan mendadak jumlah pesakit Covid 19 dalam seminggu ini dijangka akan menekan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terutama pasukan barisan hadapan dalam mengawal keadaan.
Mantan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) agak sukar untuk berjaya dalam perang melawan gelombang keempat Covid 19 kerana telah mengabaikan gesaan pengkritik untuk menambah sejumlah besar kakitangan di KKM sejak tahun lalu.
“Gelombang keempat Covid menunjukkan usaha setakat ini telah gagal, dan saya juga tidak lihat kerajaan bersedia untuk menambah anggota di KKM dalam masa terdekat untuk tangani pandemik itu.
“Ini benar-benar membuktikan PN gagal. Saya juga hendak tekankan bahawa kerajaan sepatutnya menjurus kepada kawalan pandemik.
“Sepatutnya dalam krisis semua tenaga kena gembleng. Perlu ada ‘Kabinet perang’ dan perlu juga penstrukturan semula supaya jabatan yang kurang aktif harus dialihkan tenaga, sumber dan kawalan kepada kawalan pandemik,” katanya.
Sebaliknya, kata Ahli Parlimen Gopeng itu, perisytiharan darurat yang dibuat awal Januari lalu tanpa strategi khusus atau polisi tertentu kesihatan telah tidak mendatang apa-apa kesan positif.
Katanya, darurat yang dikuatkuasakan tidak lebih daripada tindakan politik dan rakyat tidak melihat manfaat kepada sistem kesihatan negara.
Mengenai kenyataan kerajaan usaha sedang dibuat untuk memulihkan ekonomi, Dr Lee menyangkal pendapat seumpama itu.
Katanya, tidak ada pembaikan ekonomi boleh dilakukan selagi mana Covid tidak berjaya dikawal, dalam keadaan ekonomi negara terdedah kepada ‘tutup dan buka’ pelbagai sektor yang tidak dapat dijangkakan.
“Jadi kalau pandemik tidak boleh dikawal, kita tidak boleh pulihkan ekonomi. Keutamaan adalah memulihkan negara kita daripada pandemik.
“Dalam usaha ini PM sudah gagal memberi satu hala tuju kerajaan untuk hadapi krisis pandemik, ” katanya lagi.