Solat Jumaat: Ustazah Asma’ mohon maaf cuai guna wajib bertaubat


By

 Wartawan MalaysiaGazette

 -

 24 May 2021

Description: OIP-e1612230153681


Ustazah Asma' Harun.

KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun tampil menjelaskan kenyataan awal beliau bahawa mereka yang tidak menghadiri solat Jumaat tiga kali berturut-turut disebabkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pemerintah bagi mengelak penularan wabak Covid-19 wajib bertaubat dengan menunaikan solat sunat taubat.

Dalam penjelasannya, Asma’ berkata, uUmat Islam yang gagal menunaikan solat Jumaat kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam mencegah penularan pandemik Covid-19 tidak dikira berdosa kerana ia termasuk dalam keuzuran dibenarkan syarak.

Kenyataan itu dibuat selepas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, umat Islam yang gagal menunaikan solat Jumaat kerana mematuhi SOP dalam mencegah penularan pandemik tidak dikira berdosa kerana ia termasuk dalam keuzuran dibenarkan syarak.

Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, ia sama seperti tidak menunaikan solat Jumaat bagi mereka yang bermusafir dan seumpamanya.

Berikut adalah penjelasan Asma di laman Facebook miliknya.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak samada ilmuan atau orang awam yang menegur, menasihati, membantu menjelaskan semula secara baik, melihat sisi positif dan memahami dengan jernih terhadap apa yang cuba saya sampaikan.

Tidak lupa juga setinggi terima kasih buat yang mengkritik, menghina, mencerca serta memanipulasi agak jauh mengenai isi kandungan sedutan pendek daripada satu perkongsian saya yang berdurasi 1 jam 38 minit tersebut (Kami tidak tahu siapa yang memotong dan menyebarkan video tersebut, kerana ia tanpa kebenaran dan makluman).

Secara jujurnya, saya sendiri dapat mengambil pengajaran yang banyak daripada apa yang berlaku, mudah-mudahan kalian juga begitu. Saya berlapang dada menerima segalanya kerana sedar hakikat diri yang bersalah dan berdosa.

Sejak daripada awal musibah COVID-19 sehingga ke hari ini, samada dalam bentuk penulisan atau perkataan, saya tidak pernah menzahirkan penentangan terhadap SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib. Sebarang manipulasi yang menimbulkan andaian seumpama itu, maka saya nafikan.

Saya juga bersetuju dan menyokong tanpa bahas, kerana ia juga pegangan dan fahaman saya sejak awal hingga ke hari ini, sepertimana kenyataan rasmi yang telah dikeluarkan oleh:

1. Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan

https://www.facebook.com/423534687786516/posts/2114946108645357/

2. Jabatan Mufti Negeri Perlis

https://www.facebook.com/13834178…/posts/2882053502112125/

Dan lain-lain penjelasan ilmiah yang seumpama di atas.

SUDILAH KIRANYA MEMBACA DAN MENELITI PENJELASAN DHAIF SAYA DI BAWAH:

Isu utama adalah pada perkataan “RASA BERDOSA” dan “WAJIB BERTAUBAT.”

Terlebih dahulu, saya dengan rendah diri ingin memohon kemaafan atas kecuaian menggunakan perkataan “Wajib Bertaubat” sehingga menimbulkan kebimbangan, kekecohan, pertikaian, perdebatan dan telah mengheret ramai alim ulama’, ilmuan dan orang awam membahaskannya dengan pelbagai nada dan kefahaman masing-masing. Segala bentuk keburukan yang timbul amatlah dikesali.

Namun, berikan saya ruang untuk menjelaskan hakikat sebenar yang ingin disampaikan, anda boleh menerima atau menolaknya, namun sungguh berharap agar tidak dipanjangkan dengan perdebatan yang tidak ilmiah;

1. Pada awalnya saya menyebutkan bahawa meninggalkan solat Jumaat 3 kali berturut-turut wajib bertaubat, sebenarnya merujuk kepada mereka yang sengaja dan tanpa halangan (yang lebih tepat walaupun meninggalkan 1 kali juga berdosa besar dan wajib bertaubat).

Daripada Jabir bin Abdillah r.a. beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda :

مَنْ تَرَكَ الْجُمُعَةَ ثَلاَثًا مِنْ غَيْرِ ضَرُورَةٍ طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat sebanyak tiga kali tanpa sebarang dharurat maka Allah akan mengunci mati jantung hatinya.”

(HR al-Nasa’ie, hadis sahih)

2. Maka kerana beratnya peringatan tersebut, sewajarnya lelaki soleh (beriman, beramal, berakhlak) walaupun meninggalkan solat Jumaat kerana terhalang/rukhsah dan tidak jatuh berdosa dari sudut hukum syarie, tetap akan “RASA BERDOSA”, rasa bersalah, rasa sedih dan seumpamanya kesan daripada iman dan taqwa. Bahkan Rasulullah SAW sendiri yang maksum (dijamin bersih daripada dosa) juga menekankan perkara ini;

Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً

Maksudnya: “Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali.”

(HR Bukhari, hadis sahih)

Saya tertarik dengan sebuah kisah mengenai Imam al-Buwaithi yang dimuatkan di dalam kenyataan rasmi Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan sebagai renungan bersama:

“Ambillah iktibar dan pengajaran daripada kisah Imam al-Buwaithi, seorang anak murid Imam al-Syafie, yang diriwayatkan bahawa beliau walaupun dipenjara, beliau akan mandi dan memakai pakaian yang terbaik baginya pada setiap hari Jumaat, kemudian beliau pergi mengetuk pintu jeriji penjara bagi menarik perhatian pengawal penjara.

Lalu pengawal penjara itu bertanya kepada beliau, “Apa yang tuan mahu?”. Kata beliau, “Aku mahu menyahut seruan Tuhan-ku (azan Jumaat)”, walaupun dia mengetahui pengawal penjara tersebut tidak akan membenarkannya keluar. Begitulah pada setiap hari Jumaat, Imam al-Buwaithi melakukan hal yang sama sebagai usaha beliau untuk pergi mendirikan solat Jumaat.”

Sebagai muslim, kita seharusnya memiliki naluri yang ingin dekat kepada Allah melalui ibadah fardhu dengan penuh kecintaan. Maka apabila kita meninggalkan sesuatu yang dicintai, pasti hadirnya resah dan gelisah ataupun rasa bersalah bila meninggalkannya. Lalu kita berusaha untuk bertaubat dengan memperbanyak istighfar dan solat sunat.

Tentang isu “RASA BERDOSA INI”, sungguh saya senada seperti posting Prof. Dr. Supyan Husin:

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3923267634395347&id=100001364461503

3. Susulan daripada rasa berdosa yang hadir, maka didirikan solat taubat sebagai ikhtiar untuk ketenangan hati nurani. Bahkan sebahagian daripada muslim ada mewajibkan dirinya solat taubat pada setiap malam/hari, walaupun tidak jelas dosa besar apa yang dilakukan kerana “Rasa berdosa”.

Diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

Maksudnya: “Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan (dosa), dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan (dosa) itu adalah mereka yang bertaubat.”

(HR Ibn Majah (4392), hadis hasan)

4. Perkataan “wajib solat taubat” yang saya maksudkan bukanlah menjatuhkan HUKUM/BERFATWA bahawa siapa yang tinggalkan solat Jumaat 3 kali berturut-turut setelah berusaha sedaya upaya dan ada halangan yang mewujudkan rukhsah adalah berdosa besar dan “wajib bertaubat.” Hakikatnya, ia merujuk wajib dari sudut rohani (ilmu tasawwuf) atau bahasa yang biasa digunakan. Contoh perkataan ‘Wajib’ yang biasa digunakan seperti:

“Kita wajib membantu ummat Islam di P4l3stin dengan bersedekah”, maka bukanlah wajib hukmi sehingga jatuh berdosa besar mereka yang tidak bersedekah untuk P4l3stin.

“Kerana besarnya ganjaran iaitu syurga (berdasarkan hadis sahih) bagi yang membaca ayat kursi selepas solat, maka wajib jangan tinggalkannya selepas solat”, maka bukanlah bermaksud berdosa jika tidak membacanya.

Maka ‘Wajib’ disini adalah satu kemestian dari sudut akhlak atau adab sebagai hamba yang soleh. Sebaiknya seorang lelaki yang beriman, ketika waktu solat Jumaat berusaha untuk menghidupkan waktu Jumaatnya seperti mendengar khutbah melalui saluran televisyen, radio atau ‘live.’ Berusaha menghidupkan rasa cinta dan rindu untuk melaksanakan solat Jumaat walaupun berhalangan. Antara lain tidak berkeliaran tanpa sebab ketika waktu solat Jumaat, bagi menunjukkan rasa hormat, malu dan “rasa bersalah.”

Tuan/Puan, hakikatnya kita dapat melihat selepas berlalu fasa pertama PKP 1.0 dan 2.0, apabila solat Jumaat telah dibenarkan dengan SOP, masih dan bertambah ramai lelaki muslim yang mencuaikan solat Jumaat tanpa sebab. Ia satu situasi yang sangat menyedihkan. Seolahnya tiada lagi “Rasa Berdosa” walaupun benar-benar melakukan dosa besar:

Dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW:

إِنَّ الْمُؤْمِنَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَأَنَّهُ قَاعِدٌ تَحْتَ جَبَلٍ يَخَافُ أَنْ يَقَعَ عَلَيْهِ وَإِنَّ الْفَاجِرَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَذُبَابٍ مَرَّ عَلَى أَنْفِهِ

Maksudnya: “Seorang Mukmin melihat dosa-dosanya seperti dia berada di bawah gunung, dia takut gunung itu akan menghempapnya. Sedangkan orang Fajir (derhaka), dia melihat dosa-dosanya seperti melihat lalat hinggap di hidungnya.”

(HR Bukhari, hadis sahih)

.

Sahibus Samahah Datuk Zamri Hashim, Timbalan Mufti Perak semasa beliau ditemubual oleh akhbar Sinar Harian pada 22 Mei 2020.

“Jelasnya, antara bentuk tindakan meremehkan solat Jumaat dalam kalangan masyarakat termasuklah sengaja tidak pergi solat Jumaat walaupun nama tersenarai di dalam giliran menunaikan solat Jumaat atau sengaja memberikan giliran solat Jumaat kepada orang lain sedangkan tiada keuzuran syarak kepada dirinya. Selain itu, tidak berusaha memaklumkan kepada ahli jawatankuasa masjid untuk menunaikan solat Jumaat dan tidak berusaha datang awal ke masjid untuk solat Jumaat juga merupakan sebahagian perbuatan meremehkan solat Jumaat.”

“Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan keputusan membenar semua surau melaksanakan solat Jumaat itu, semua ahli jawatankuasa masjid wajib memastikan semua surau yang berada di dalam kariah mereka berusaha menampung jemaah lelaki yang tidak dapat menunaikan solat Jumaat di masjid atau Surau Diri Jumaat sedia ada.”

“Bukan setakat membiarkan surau berkenaan memilih untuk melaksanakan solat Jumaat atau tidak kerana maksud kebenaran itu adalah untuk membolehkan semua lelaki Muslim solat Jumaat setiap minggu.”

“Jangan sampai ada di kalangan lelaki-lelaki Muslim merasa lazat untuk berterus-terusan meninggalkan solat Jumaat sewenang-wenangnya begitu sahaja,” katanya.

“MAIPk dalam satu kenyataan memaklumkan semua surau di Perak yang berdaftar dengan MAIPk dibenar melaksanakan solat Jumaat sepanjang tempoh PKPP bermula 10 Julai 2020 ini.”

“Kebenaran tersebut turut diberikan kepada surau-surau institusi pendidikan, kem tentera, berek-berek Polis Diraja Malaysia (PDRM), jabatan dan pejabat-pejabat kerajaan yang mempunyai ruang keluasan solat yang sesuai bagi memenuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.”

Artikel Penuh:

https://www.sinarharian.com.my/…/Berdosa-besar-cuai…

© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

.

سبحان اللّه وبحمده سبحان اللّه العظيم

Sebagai orang awam dan sepanjang tempoh berada dalam lapangan dakwah lebih kurang 10 tahun, saya menghormati semua alim ulama’, ilmuan dan pendakwah tanpa mengira latar belakang, tidak menghina atau mencerca walaupun tidak bersetuju, atau membalas cercaan terhadap saya tanpa sebab sahih. Saya percaya semua pendakwah berusaha memberi kebaikan untuk pembangunan rohani, akal dan akhlak ummah.

Onak dan ranjau berduri dunia dakwah ini membuatkan saya belajar banyak perkara;

1. Setiap patah perkataan atau tulisan yang saya sampaikan perlu diiringi dengan sikap sangat berhati-hati bagi mengelakkan kesilapan yang berulang, kerana hukuman segera menanti tanpa belas kasihan. Nasihat dan teguran yang baik dengan cara yang baik amatlah diharapkan dan dihargai.

2. Susulan tekanan demi tekanan, lalu antara ikhtiar saya ialah mewujudkan unit penyelidikan sendiri yang terdiri daripada 8 orang (setakat ini) dengan latar belakang pengajian islam yang berbeza. Perniagaan kecilan di bawah Galeri UAH itulah yang menampung pembayaran gaji buat mereka, ia satu pelaburan yang sangat berbaloi, demi kelangsungan dakwah yang benar dan sahih.

Namun, hakikatnya saya tetap tidak dapat lepas daripada melakukan kesilapan demi kesilapan. Saya akan terduduk sekejap apabila dikecam dicerca, namun usaha bangkit semula walau payah demi ummah. Jika untuk diri, suami dan anak-anak, mahu saja saya menjadi isteri dan ummi sepenuh masa.

3. Budaya mengeji dan menghina masyarakat kita pada waktu ini sangat membimbangkan, berlaku tanpa rasa segan dan berdosa. Bukan hanya dalam kalangan orang awam, tapi dicontohkan oleh ilmuan dan agamawan. Maka saya menyeru, sebagaimana tujuan utama Nabi Muhammad SAW diutuskan iaitu untuk menyempurnakan akhlak menjadi satu landasan perjuangan dan metod dakwah.

Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang baik.”

(HR Ahmad, hadis sahih)

KESIMPULAN

Saya berharap agar apa yang disampaikan dalam penjelasan ini tidak mengguris hati mana-mana pihak dan mengharmonikan kembali salah faham yang berlaku. Semoga ada hikmah yang besar daripada Allah SWT untuk saya khususnya, pihak berwajib dalam meneliti lebih mendalam dan untuk kita semua. Sekali lagi saya mohon maaf atas segala yang berlaku.

Setinggi ucapan terima kasih kepada Prof. Dr. Supyan Hussin (Prof. UKM), Dr. Wan Hilmi (Pensyarah, UKM), Dr. Muhamad Rozaimi Ramle (Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis), Dr. Abdul Basit Abdul Rahman (Penyelia Madrasah Muhammadiah Pondok Sungai Durian), Dr. Mohd Hafiz Mahaiyadin (Pensyarah Kanan, Universiti Teknologi Mara), Ustaz Dr. Roslan Mohammed (Mantan Pensyarah Kanan Universiti Malaya), Ustaz Abu Syafiq (Pengasas Pertubuhan ASWAJA), Tuan Guru Syeikh Muhammad Nuruddin Al-Banjari (Mudir Maahad An-Noer, Janda Baik, Pahang), Syeikh Ahmad Faisol Hj. Omar (Kadi Daerah Kota Setar, Kedah), Dr. Muhamad Ilyas Mohd Mydin (Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia), Ustaz Abid Annuriyy (Pensyarah OUM) dan lain-lain tokoh yang saya tak dapat sebutkan satu persatu dalam tulisan ini.

Juga setinggi rasa terharu dan penghargaan kepada semua sahabat alam maya yang sentiasa memberikan doa, sokongan, semangat, kefahaman dan nasihat yang cukup berhikmah. Kebanyakan komentar saya baca dan rasa sungguh bahagia. Saya juga berlapang dada dan memaafkan segala kekhilafan dan kecaman yang dilontarkan kepada saya tanpa tuntutan sampai akhirat.

Sama-sama kita hayati peringatan daripada Rasulullah SAW:

لَيُنْقَضَنَّ عُرَى الْإِسْلَامِ عُرْوَةً عُرْوَةً فَكُلَّمَا انْتَقَضَتْ عُرْوَةٌ تَشَبَّثَ النَّاسُ بِالَّتِي تَلِيهَا وَأَوَّلُهُنَّ نَقْضًا الْحُكْمُ وَآخِرُهُنَّ الصَّلَاةُ

Maksudnya: “Ikatan-ikatan Islam akan terburai satu demi satu, setiap kali satu ikatan terburai orang-orang bergantungan pada ikatan selanjutnya. Yang pertama kali terburai adalah masalah hukum dan yang terakhir adalah solat.”

(HR Ahmad, hadis sahih)

Wallahu A’lam.

ASMA’ BINTI HARUN

– MalaysiaGazette