KUALA LUMPUR: Sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong (IPD) telah melakukan tinjauan dan pemeriksaan di pusat kasino Genting Highlands, pada malam Isnin, bagi memastikan kawasan itu ditutup sepenuhnya.

Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Zaiham Mohd Kahar berkata, pemeriksaan itu adalah selaras dengan arahan penutupan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).

“Pada 24 Mei, 2021, jam lebih kurang 11 malam, sepasukan pegawai dan anggota polis IPD Bentong telah menjalankan pemantauan dan pemeriksaan bagi pengoperasian pusat kasino di Genting Highlands

“Pemantauan dan pemeriksaan dilakukan bagi memastikan pengoperasian di pusat kasino Genting Highlands ditutup sepenuhnya selaras dengan arahan yang dikeluarkan MOF,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

Sehubungan itu, Zaiham menyeru kepada orang ramai agar terus patuh kepada arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memutuskan rantaian pandemik COVID-19.

Pada 23 Mei lepas, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, pengurusan Genting telah diarah tutup serta-merta sejak Jumaat (21 Mei) lepas.

BACA: COVID-19: Kasino di Genting diarah tutup serta-merta

Ia susulan laporan media tentang sekumpulan 28 pelancong dari Alor Setar, Kedah telah pergi melancong ke Genting Highlands melalui konsep gelembung perjalanan domestik atau ‘travel bubble’ untuk sektor pelancongan.

Dua hari selepas itu, sebahagian pelancong daripada kumpulan terbabit mula mengalami simptom COVID-19 dan 16 daripada mereka disahkan dijangkiti virus itu pada 7 Mei lepas.