(DIKEMASKINI) LRT bertembung: Kemalangan disebabkan kecuaian pemandu, kata laporan awal - Nora Mahpar

 


(Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Laporan awal siasatan berhubung kejadian dua tren LRT bertembung di Stesen Kampung Baru dan KLCC semalam mendapati terdapat kecuaian pemandu, membabitkan tren bernombor 40 yang dipandu bertentangan arah, kata Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong.

Beliau berkata, laporan awal yang disediakan pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), mendapati tren 40 bergerak dari Gombak ke Depot Subang arah selatan dan mengalami masalah teknikal menyebabkan ia terhenti semasa menghampiri platform Stesen Kampung Baru.

“Pusat Kawalan Operasi (OCC) kemudian mengenalpasti kedudukan tren 40 dan mengarahkan pemandu (hostler) untuk memandu 40 secara manual dari Stesen Kampung Baru menuju ke Stesen Dang Wangi dan perlu bergerak ke arah yang sama bagi memberi laluan kepada tren lain untuk meneruskan perkhidmatan.

“Pada masa sama, tren 81 yang beroperasi secara automatik berada dalam keadaan statik di platform Stesen KLCC arah selatan dan berlepas dari Stesen KLCC ke Stesen Kampung Baru setelah menerima maklumat bahawa tren 40 telah beredar dari Stesen Kampung Baru menuju ke Stesen Dang Wangi pada jam 8.24 malam,” katanya pada sidang media ketika membentangkan laporan awal insiden berkenaan.

Mengulas lanjut, Wee berkata, tren 40 yang sepatutnya bergerak ke arah selatan menuju ke Stesen Dang Wangi telah bergerak ke arah utara, iaitu arah bertentangan, sekaligus mengakibatkan perlanggaran berlaku pada jam 8.33 malam.

“Pada jam 8.36 malam, OCC memaklumkan Agensi Tindakan Kecemasan dan melantik pegawai yang bertanggungjawab di kawasan insiden disusuli kehadiran pasukan Bomba dan polis serta pasukan paramedik di lokasi kejadian

“Pada jam 8.45, penumpang mula dipindahkan daripada tren dan kesemua penumpang berjaya dibawa keluar pada jam 9.23 malam,” katanya.

Dalam pada itu, Wee turut mengumkan penubuhan jawatankuasa siasatan seramai 11 anggota diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Isham Ishak dan dibantu kakitangan pelbagai agensi.

“Segala perihal mengenai penyiasatan akan dikeluarkan sepenuhnya secara rasmi oleh Pejabat Menteri,” katanya.

Ketika melawat mangsa di lokasi kejadian malam tadi, Wee memberi jaminan hasil siasatan penuh berhubung kemalangan itu akan diumumkan dalam tempoh dua minggu.

 


No comments: