PENYOKONG UMNO, PAS BERBEZA PENDAPAT TENTANG MUHYIDDIN

 

Minggu ini politik Malaysia digawatkan berkaitan hubungan politik antara UMNO dan Perikatan Nasional (PN).

Pembentukan Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) sejak 1 Mac 2020 terbentuk dengan gabungan politik, antara parti utama ialah Parti BERSATU, UMNO, PAS, MIC, MCA, GPS dan GRS serta beberapa parti-parti lain.

Namun begitu, perkembangan mutakhir memperlihatkan UMNO dengan jelas membuat pendirian untuk tidak bersama dengan PN pada PRU15 yang akan datang. Pastinya ia disebabkan oleh kesukaran untuk memuktamadkan resolusi rundingan kerusi antara parti-parti politik.

Akar umbi UMNO pada dasarnya sukar untuk menerima kerjasama dengan BERSATU atas dasar sebahagian besar ahli-ahli BERSATU adalah dulunya ahli-ahli UMNO yang dianggap khianat kepada perjuangan UMNO.

Keputusan UMNO untuk tidak bersama dalam koalisi PN dalam PRU15 juga, mengundang teka-teki terhadap kedudukan kerjasama antara PAS dan UMNO dalam MUAFAKAT NASIONAL.

Adakah keputusan UMNO ini menjejaskan Muafakat Nasional?

Apa pilihan kepada PAS jika terpaksa memilih antara dua rakan kerjasama dalam menghadapi PRU15?

Survei IDE, MOOD RAKYAT # MOOD OF THE NATION, yang dijalankan pada 19 – 28 Februari 2021 telah mendapati bahawa sikap penyokong UMNO dan PAS adalah berbeza antara satu sama lain.

Keputusan survei ini adalah selari dengan keputusan politik yang telah dibuat oleh UMNO.

72% penyokong UMNO memilih untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU 15 dengan segera.

Sementara itu 69% penyokong juga berpendirian bahawa kepimpinan TSMY gagal dalam mengawal penularan COVID 19 secara berkesan.

Bahkan bagi penyokong UMNO, purata penilaian (average rating) terhadap prestasi Menteri Kabinet TSMY adalah pada tahap 3.0 bagi skala antara 1 (paling rendah) hingga 10 (paling tinggi).

Jelas berdasarkan data responden penyokong UMNO, mereka mempunyai persepsi yang rendah dan negatif terhadap Kerajaan Perikatan Nasional khususnya suara akar umbi.

Justeru senario ini mengesahkan penolakan UMNO terhadap Perikatan Nasional dan pelbagai konflik yang timbul antara keduanya.

Sikap penyokong PAS dilihat berbeza; lebih bersikap positif dan pragmatik terhadap kepimpinan TSMY dan Kerajaan Perikatan Nasional.

74% responden penyokong PAS mengambil sikap menyokong untuk TSMY kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia sehingga tempoh Parlimen tamat.

Penyokong PAS juga memberikan skala pencapaian 8.0 bagi skala antara 1 (paling rendah) hingga 10 (paling tinggi), terhadap Menteri Kabinet kepimpinan TSMY.

Malah penyokong PAS menyatakan kepimpinan kerajaan TSMY berjaya mengawal penularan COVID 19 dengan berkesan.

Berdasarkan kepada data-data ini jelas memperlihatkan perbezaan sikap antara penyokong UMNO dan PAS yang dilatari oleh pelbagai latar belakang terkait dengan strategi politik, reaksi akar umbi, survival kerusi Parlimen dan DUN, masa depan parti politik dan dinamiknya sokongan pengundi atas pagar.

Senario ini juga menjadi tanda tanya terhadap kedudukan PAS samada untuk memilih antara dua gabungan iaitu bersama BERSATU dalam Perikatan Nasional, atau bersama UMNO dalam Muafakat Nasional pada PRU 15 akan datang.

Survei Mood Rakyat Malaysia Setahun Pemerintahan Perikatan Nasional dijalankan oleh Institut Darul Ehsan (IDE) secara dalam talian pada 19 hingga 28 Februari 2021 yang melibatkan 8,352 orang responden seluruh negara, Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Persampelan yang digunakan dalam kajian ini adalah persampelan berperingkat (multi-stage sampling). Profil responden adalah merangkumi jantina, umur, kaum, sokongan kepada parti dan trend keputusan PRU14.

Survei ini juga turut mendapatkan pendirian responden terhadap isu berkaitan prestasi Kerajaan dan Perdana Menteri, usaha Kerajaan menangani COVID 19 dan masa depan politik Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Pakatan Harapan.

Siaran Media ini adalah Siaran Media SIRI KE-3 MOOD RAKYAT #MOOD OF THE NATION. Sila layari

web: www.ideselangor.com / Facebook, Youtube & Twitter IDE bagi mendapat maklumat Siaran Media terdahulu.

Dikeluarkan oleh: UNIT PENYELIDIKAN IDE.



No comments: