PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tetap meneruskan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) sehingga Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) walaupun Umno memutuskan kerjasama dengan parti itu.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerjasama antara kedua-dua parti akan terus diperkukuhkan di samping meneruskan agenda seperti yang dirancang.
“PAS dan Bersatu akan terus kekal bersama dalam PN dan meneruskan kerjasama seperti mana yang dirancang.
“Kita juga akan terus memperkukuhkan kerjasama antara parti-parti yang ada dan memberi tumpuan kepada gerak kerja pilihan raya akan datang,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke pusat pemberian vaksin di Klinik Kesihatan Kampung Gial, di sini hari ini.
Katanya juga majoriti rakyat menunjukkan reaksi yang baik dan menerima gabungan parti-parti sedia ada.
“Rakyat pun suka dengan gabungan parti sedia ada dan saya fikir tidak menjadi masalah besar walaupun Umno telah memutuskan kerjasama dengan Bersatu.
“Walau bagaimanapun, saya menyerahkan urusan ini kepada parti-parti gabungan yang lain,” ujarnya.
Pada 26 Februari lepas Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dikatakan menghantar surat tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15 setelah ia diputus pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Janda Baik, Pahang baru-baru ini.
Manakala Bersatu memutuskan memberi tumpuan kepada gerak kerja bersama parti gabungan sedia ada seperti PAS, STAR, SAPP dan Gerakan berteraskan prinsip perjuangan yang jujur dan ikhlas kepada rakyat demi mencapai kemenangan pada PRU15.