Menantu Hadi kata hubungan Pas, Umno, Bersatu ibarat bermadu

 


Menantu Hadi kata hubungan Pas, Umno, Bersatu ibarat bermadu


Pas Perak menyifatkan hubungan parti itu dengan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai ‘hidup bermadu’ dalam alam perkahwinan.

Setiausaha Pas Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, walaupun mungkin wujud perasaan tidak suka namun, setiap ‘isteri’ harus menghormati keputusan ‘suami’ sekiranya suami ingin berkahwin seorang lagi.

Demikian juga dengan senario antara Pas, UMNO berhubung kerjasama politik bersama Bersatu ketika ini, kata Mohd Akmal.

“Walaupun hatinya tidak bersetuju namun dia (isteri) kena menghormati keputusan suami untuk menikah lagi seorang. Mungkin akan wujud perkara yang tidak setuju namun sekurang-kurangnya dia menghormati.

“Kita menghormati pendirian UMNO tidak bersama Bersatu namun, kita juga minta UMNO supaya menghormati Pas untuk bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).

“Apabila wujud suasana ini, maka bahagialah ‘rumah tangga’ yang bermadu. Dia tidak setuju, tetapi dia menghormati,” katanya ketika ditemui pada Program Kempen Pengumpulan Buangan Elektrik Dan Elektronik (e-waste) di Dewan Komuniti Kg Ulu Chepor Tambahan, Chemor, di sini pada Sabtu.

Semalam media melaporkan Pas Pusat komited untuk memantapkan hubungan kerjasama tiga parti Melayu bersama Bersatu dan UMNO.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, agenda pengukuhan ummah akan menjadi asas perpaduan kerjasama tersebut.

Sementara itu, Mohd Akmal berkata, hubungan antara Pas, UMNO dan Bersatu semakin baik di Perak walaupun dua parti sekutu itu tidak akan bekerjasama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Kita selalu berbincang antara Pas dengan UMNO dan juga selalu berbincang antara Pas dan Bersatu.

“Apabila kita berbincang dengan Bersatu, kita tidak memburukkan UMNO. Begitu juga apabila berbincang dengan UMNO, kita tidak memburukkan Bersatu,” jelas beliau lagi