PBB belum lihat bukti puteri Dubai masih hidup

 

Sheikha Latifa tidak dilihat di khalayak ramai sejak satu cubaan gagal untuk melarikan diri dari UAE pada Mac 2018. (Gambar AP)

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata, ia belum melihat bukti daripada Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang Sheikha Latifa dari Dubai masih hidup, dua minggu selepas ia meminta bukti itu.

Pejabat Hak Asasi PBB meminta bukti anak perempuan kepada pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid Al-Maktoum, selepas BBC menyiarkan satu rakaman video menunjukkan Latifa berkata, beliau ditahan dan bimbang dengan nyawanya.

Sheikh Mohammed ialah naib presiden dan perdana menteri UAE, di mana Dubai ialah sebuah daripada tujuh emiriahnya.

Anak perempuannya yang berusia 35 tahun itu tidak dilihat di khalayak ramai sejak satu cubaan gagal untuk melarikan dari emiriah pada Mac 2018.

Pejabat Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia sudah berbincang dengan diplomat UAE di Geneva.

“Kami sudah mengadakan perbincangan dengan wakil kerajaan UAE di sini, Geneva, tetapi saya tidak mempunyai perkembangan khusus untuk dilaporkan,” kata jurucakap OHCHR, Rupert Colville.

Ditanya jika bukti beliau masih hidup sudah diterima, beliau menjawab: “Belum, tidak.”

BBC berkata, klip video yang disiarkan itu dirakam kira-kira setahun selepas Latifa ditahan dan kembali ke Dubai, menunjukkan beliau membongkok di satu sudut yang didakwanya bilik air.

BBC melaporkan video tanpa tarikh itu disiarkan ketika rakan Latifa menyuarakan kebimbangan mereka tidak lagi menerima mesej sulit daripada puteri itu.

Dalam kenyataan bulan lalu, keluarga diraja Dubai bertegas Latifa “dirawat di rumah”.

“Keluarganya mengesahkan puteri itu dirawat di rumah, dengan disokong keluarganya dan profesional perubatan.

“Keadaan Sheikha Latifa bertambah baik dan kami berharap beliau akan kembali ke khalayak ramai pada masa sesuai.”


No comments: