Kenapa Edmund Santhara dibenarkan kuarantin di rumah?

 



Dr Lee Boon Chye mempersoalkan bagaimana Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Edmund Santhara dibenarkan menjalani kuarantin di rumah sekembalinya dari New Zealand baru-baru ini.

Bekas timbalan menteri kesihatan itu berkata, semua individu yang pulang dari luar negara sepatutnya perlu menjalani kuarantin wajib di hotel atau pusat pengasingan yang diluluskan Kementerian Kesihatan (KKM).

Justeru, beliau menganggap tidak patut wujud dwistandard untuk mereka yang berada dalam kerajaan.

“Beliau mungkin fikir New Zealand ialah negara yang sangat selamat, tetapi beliau masih mempunyai kontak dengan orang lain di lapangan terbang. Beliau boleh memilih kuarantin rumah, jika ada bentuk pengaturan perjalanan khas dengan New Zealand, tetapi tidak ada.

“Malah, orang yang datang dari Singapura perlu dikuarantin (di hotel atau pusat), jadi kenapa pengecualian diberikan kepada Santhara?

“Jika KKM mahu menjaga krediblitinya, mereka patut memberi layanan sama kepada semua orang," katanya.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah pula menyifatkan kebenaran untuk Edmund kuarantin di rumah adalah sesuatu yang “gila” sedangkan rakyat biasa perlu tinggal di bilik hotel selama 10 hari.

“Disebabkan pihak berkuasa mahu mendenda orang yang melanggar SOP, jadi kenapa mereka tidak mendenda beliau atau orang yang membenarkan beliau menjalani kuarantin di rumah? Ini tidak patut berlaku.

“Apa yang istimewa sangat dengan Santhara? Adakah beliau mempunyai antibodi khas?” soal Ahli Parlimen PKR itu.

Edmund dilaporkan pulang dari New Zealand minggu lalu dan sedang dikuarantin di rumah.

Pada 1 Mac lalu, Edmund menjelaskan bahawa Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin membenarkannya bercuti 55 hari untuk berada di New Zealand bersama keluarganya, dengan alasan isterinya sakit.

Justeru, beliau berlepas ke Auckland pada 23 Disember dan dikuarantin sehingga 9 Januari lalu.

 

No comments: