Pulau Pinang mengambil air mentah dari Sungai Muda di Lahar Tiang, Kepala Batas.

GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang akan mempertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Kedah bagi menghalang negeri jirannya itu daripada melaksanakan projek takungan air di sepanjang Sungai Muda yang akan mengancam 80% keperluan air Pulau Pinang.

Dalam kenyataan, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, negeri itu juga mungkin menyaman Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor sekiranya projek itu menimbulkan masalah kepada Pulau Pinang.

“Sekiranya projeknya menimbulkan penderitaan bagi penduduk Pulau Pinang dan kerugian kepada perniagaan yang beroperasi di negeri ini, kita mungkin akan saman beliau atas kos dan kerosakan,” kata Chow.

Semalam, Sanusi mengejutkan Pulau Pinang dengan mengumumkan bahawa Kedah berhasrat membina 14 tangki air sepanjang Sungai Muda untuk menjimatkan air bagi pengairan padi dan memastikan bekalan air mencukupi sepanjang musim kemarau.

Beliau juga mahu Pulau Pinang membayar caj air mentah sekiranya ingin mengambil air dari Sungai Muda untuk mengelakkan daripada “minum air selut”.

“Bukan tak mau bagi (air), nak bagi, tapi kena bayarlah sebab kita ada (kos) penyelenggaraan untuk kawasan tadahan,” kata Sanusi.

Kenyataan itu secara umum dilihat sebagai ugutan untuk melambatkan aliran air dari hulu sungai dan disifatkan oleh beberapa pemimpin politik sebagai “tindakan perang” terhadap Pulau Pinang.

Pandangan udara Sungai Muda, berlatarbelakangkan muka sauk air mentah utama Pulau Pinang di Lahar Tiang.

Pulau Pinang bergantung kepada Sungai Muda bagi 80% keperluan airnya dan negeri itu memproses air mentah di Butterworth.

Chow berkata, Sanusi silap sekiranya berpendapat beliau secara sewenang-wenang boleh melaksanakan projek itu di Kedah kerana sebarang projek mesti mendapat kelulusan dan dana daripada kerajaan persekutuan.

“Mana-mana projek ‘baharu’ Sungai Muda di Kedah di hulu muka sauk Lahar Tiang Pulau Pinang mesti mematuhi semua undang-undang yang berkaitan,” kata Chow.

“Secara ringkasnya, Kedah tidak boleh menjalankan projek yang melibatkan Ulu Muda yang tidak sah atau tidak dipersetujui oleh kerajaan persekutuan.”

Beliau berkata, selain perintah injunksi, antara pilihan lain yang dipertimbangkan adalah mengemukakan bantahan rasmi terhadap projek Kedah itu kepada kerajaan persekutuan dan membangkitkan isu itu di Parlimen.

Beliau berkata, Pulau Pinang tetap dengan pendirian untuk tidak membuat apa-apa bayaran kepada Kedah bagi mendapatkan air dari dari Sungai Muda yang mengalir melalui negeri itu.

Sementara itu, Chow berkata Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang akan mengkaji semula rancangan masa depannya untuk memastikan keselamatan bekalan air, termasuk loji penyahgaraman dan saluran pemindahan air mentah dari Sungai Perak.

“Kita sekarang akan berusaha untuk melaksanakan lebih banyak projek strategik untuk mengurangkan risiko kemungkinan ‘perkara tidak diingini’ yang melibatkan Sungai Muda yang boleh mempengaruhi perkhidmatan bekalan air di Pulau Pinang pada masa akan datang,” katanya.