‘Apa makna kenaikan pangkat tanpa kenaikan gaji?’ – Kula

 


Kerajaan Perikatan Nasional (PN) digesa mengkaji semula keputusan untuk tidak memberikan kenaikan gaji kepada doktor kontrak yang dinaikkan pangkat. 

Menyifatkan ia sebagai memalukan, Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kula Segaran berkata, kerajaan sepatutnya menaikkan gaji seiring kenaikan pangkat sebagai tanda penghargaan di atas pengorbanan mereka ketika pandemik. 

“Oleh itu, kenaikan pangkat ini hanyalah tawaran di atas kertas semata-mata, padahal tidak ada sebarang kenaikan gaji kepada mereka berbanding dengan bidang tugas yang semakin bertambah dengan kenaikan pangkat dan jawatan tersebut.

“Jadi, apakah makna ‘wira negara’ yang selalu didendangkan kepada mereka selama ini sekiranya tawaran kenaikan pangkat ini jelas lebih bersifat menekan dan membuli mereka?

“Sedangkan kebiasaannya, tawaran kenaikan pangkat (bermaksud bidang tugas dan tanggungjawab bertambah), akan disusuli dengan kenaikan gaji,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Portal FMT sebelum ini melaporkan kebanyakan 22,000 doktor kontrak yang menerima surat kenaikan pangkat daripada kategori UD41 ke UD43 pada minggu lalu tidak akan dapat kenaikan gaji.

Menurut portal berkenaan, keputusan itu disebabkan bayaran semasa mereka lebih tinggi daripada bayaran permulaan dalam skala baharu itu.

Menurut beberapa doktor seperti dipetik FMT, gaji pokok mereka sekarang adalah RM3,622 manakala gaji permulaan bagi gred UD43 adalah RM3,611.

Kula yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan dalam pada itu turut menggesa agar kumpulan doktor yang masih belum mendapat lantikan sebagai penjawat awam diberikan lantikan secara tetap dalam perkhidmatan awam. 

“Pegawai perubatan adalah salah satu kerjaya profesional yang sangat dihormati di luar sana kerana mereka sangat menyumbang kepada masyarakat kita pada umumnya.

“Mereka tidak boleh diketepikan dalam keadaan negara mengumumkan pelbagai projek berskala besar yang sepatutnya bukan menjadi keutamaan, apa salahnya jika diperuntukkan sedikit kepada kenaikan gaji ini,” ujarnya yang juga mantan Menteri Sumber Manusia.